MyAirline memohon maaf kepada penumpang dan agensi penerbangan yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat itu.
Eksekutif interim MyAirline Azharuddin Abdul Rahman berkata syarikat itu kini dalam proses mempercepatkan proses bayaran balik wang dan berharap semua penumpang MyAirline bersabar.
“Kami juga sedang dalam usaha mewujudkan talian ‘hotline’ bagi membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik dan memudahkan proses bayaran balik, mereka (penumpang) digalakkan untuk menyediakan nombor tempahan mereka (PNR) dan e-melkannya kepada kami di [email protected],” katanya dalam kenyataan.
Azharuddin berkata semua pekerja MyAirline masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.
Menyentuh mengenai perkongsian strategik, beliau berkata beberapa pihak menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat sedang menilai cadangan tersebut.
“Kami akan terus menyediakan maklumat terkini kepada penumpang yang kami hargai dan juga pihak berkepentingan lain,” katanya.
12 Oktober lalu syarikat itu mengumumkkan `penggantungan operasi syarikatnya secara mengejut menyebabkan 125 ribu penumpang yang membeli tiketnya terjejas.
Keadaan lebih huru -hara selepas pelbagai pihak mendesak Datuk Allan Goh Hwan Hua pemegang saham tunggal terbesar syarikat penerbangan itu tampil menyelesaikan kemelut MYAirline.
Untuk rekod Datuk Allan Goh melalui anak Syarikatnya Zillion Wealth Bhd mempunyai 88% kepentingan ekuiti dalam MYAirline dan Trillion Cove Holdings Bhd syarikat pinjaman wang mempunyai 10% kepentingan
Awal September lalu Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah lebih RM50 juta terhadap I-Serve Online Mall Sdn Bhd milik Datuk Allan Goh bersama anak syarikatnya i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd, QA Smart Partnership PLT, QA Elite Partnership PLT, QA Premium Partnership PLT, MM2217 PLT, dan Valuewise PLT kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Kini Datuk Allan Goh bermasalah dalam MYAirline.