Sejak tengah malam tadi nampaknya portal TCS- The Corporate Secret sekali lagi disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk URL www.thecorporate-secrets.com. Ini kali ketiga selepas URL pertama www.thecorporatesecret.com dan kedua www.thecorporatesecrets.com disekat. Bagaimanapun semua link masih boleh dilayari menggunakan Virtual Private Network (VPN). Boleh download aplikasi percuma atau membeli di App Store dan Google play store.
Entahlah apa pula kali ini tindakan SKMM. Setakat ini tiada emel dihantar untuk amaran atau arahan penarikan artikel seperti yang biasa dihantar oleh SKMM.
Kami tidak seperti Malaysianow, Utusan TV, Pertiwi tv, Malaysia-today.net dan Awesome TV melawan dan menyerang SKMM. Malah ada blog milik bekas MP Wang Maju Wee Choo Keong mencabarnya di mahkamah. Masing-masing mempunyai cara. Ini termasuk kritikan para ‘Wartawan Veteran’ diketuai Johan Jaafar, Kadir Jasin, Dr Chamil Wariya, Hussamuddin Yaacob ( Pemilik Karangkraf), Azman Ujang, Zakaria Wahab dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong mendesak SKMM berhenti jadi ‘Abang Besar’ kawal media.
Tiga kali disekat apa lagi pihak kami mahu katakan. Kami kata bersabarlah dengan sekatan SKMM dan meneruskan operasi TCS seperti biasa.
The Corporate Secret (TCS) mendedahkan banyak kelompangan, kebobrokan kumpulan Mafia Korporat diketuai Victor Chin Boon Long, pelbagai skandal korporat, skandal penjawat awam, GLC, bekas pemimpin-pemimpin politik terlibat rasuah termasuk pemimpin Perikatan Nasional dan proksinya yang kini ditahan SPRM serta didakwa di mahkamah. Jika ada pun individu tertentu yang didedah semuanya berdasarkan maklumat yang tular sedia ada kami hanya memberi butiran terperinci mengenainya daripada sumber-sumber tentu.
Ya ramai bekas pesara, penguatkuasa atau pegawai Kerajaan yang kini menjadi Pengerusi dan Lembaga Pengarah di Syarikat senarai awam milik Mafia Korporat malah memiliki saham di syarikat-syarikat itu kepanasan. Ya mereka cari makan tentulah terasa dan bimbang para majikan baru mereka didedahkan yang boleh menjejaskan pendapatan. Tetapi kebenaran skandal korporat syarikat-syarikat tu wujud maka rakyat berhak mengetahuinya. Pihak berkuasa kerajaan sepatutnya mengambil tindakan menyiasat, menangkap atau mendakwa pemilik-pemilik syarikat Mafia korporat ini.
Negara ini akan hancur jika agensi penguatkuasa dan pelaksana mengambil rasuah mengikut telunjuk taukeh mafia korporat yang kaya.
Portal yang menyokong Kerajaan Perpaduan pun SKMM boleh sekat apatah lagi portal yang jelas pro pembangkangnya.
Jika portal pro pembangkang dan menentang Kerajaan tidak hairan portal disekat kerana ianya biasa berlaku kepada siapa yang berkuasa menjadi kerajaan. Boleh jadi berasas boleh jadi tidak kerana ia bergantung kepada arahan Kerajaan. Pegawai SKMM bekerja untuk kerajaan berkuasa semasa melainkan mereka menyokong pihak lain.
Contoh jelas SKMM menyekat portal Sarawakreport pada julai 2015 namun membuka sekatan pada 18 Mei 2018 selepas beberapa hari Kerajaan PH 0.1 berkuasa.
Sehingga kini Sarawakreport masih menyerang pemimpin kerajaan seperti Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya, terbaru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor berhubung isu Sabah Forest Industries sedangkan punca masalah SFI adalah Shafie Apdal Kerajaan Warisan dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffry Kitingan isu karbon yang sudah dijawab oleh Peguam Negeri Sabah sebagai selesai.
Mengapa SKMM tidak sekat Sarawakreport sekarang? Apakah definisi kebebasan bersuara hanya untuk Sarawakreport? Berani SKMM sekat Sarawakreport?
Pemain media hanya berharap satu perkara, Menteri KKD Fahmi Fadhil merombak SKMM dan menyusun semula Lembaga Pengarah yang masih dipenuhi orang-orang lama lantikan dari Menteri sebelum ini.
Apapun kami akan terus hidup sebagai TheCorporateSecret dengan pelbagai cara. Kami yakin pembaca setia kekal bersama. Kami tidak akan mengalah menyampaikan kebenaran dan melawan kebatilan. Kami hanya mahu membantu PMX, Menteri KKD dan Kerajaan Perpaduan sekarang. Bukan kerajaan perlu keluar duit pun.
Allah sayang kita semua,
Kita sayang SKMM,
www.thecorporate-secrets.com
www.thecorporatesecret.com
www.thecorporatesecrets.com
Ketua Editor
The Corporate Secret
30 September 2023
1 thought on “Portal The Corporate Secret disekat SKMM lagi”