Malaysia memperoleh lebih RM37.4 bilion komitmen pelaburan merentasi pelbagai sektor teknologi digital sehingga Ogos 2023 menjanjikan penciptaan sekurang-kurangnya 15,895 pekerjaan bernilai tinggi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pencapaian luar biasa itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja utuh Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.
“Tambahan pula, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya pada pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz.
Fahmi berkata, reputasi Malaysia yang mantap sebagai destinasi perniagaan untuk pelabur teknologi, digabungkan dengan lokasi strategik sebagai pintu masuk ke ASEAN, menjadikannya destinasi yang sempurna untuk perniagaan yang ingin berkembang maju di rantau dinamik ini.
Beliau berkata, kerajaan memberikan penekanan yang ketara dalam memperkasa ekonomi digital dengan digital kini membentuk hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menandakan kepentingannya yang semakin meningkat dalam landskap ekonomi negara.
“Visi kami melangkaui membangunkan industri digital. Kami berhasrat untuk menggalakkan penyertaan ekonomi bagi semua segmen masyarakat melalui platform digital dan model perniagaan,” katanya.
Mengenai MDX 2023, Fahmi berkata, ekspo berkenaan adalah platform yang telah dikonsepkan oleh MDEC dengan kerjasama rakan kongsinya untuk mempamerkan ekosistem teknologi dan ekonomi digital yang terbaik di Malaysia.
Beliau berkata, buat pertama kali, MDX 2023 menampilkan 13 acara sampingan yang berlangsung bukan saja di Lembah Klang, tetapi juga di luar ibu negara seperti Johor, Melaka dan Sarawak dalam tempoh enam minggu ini dengan sasaran 400,000 hingga 500,000 pengunjung.
Bertemakan ‘Jom berniaga. Melabur di Malaysia’, MDX 2023 ialah sambutan ekonomi digital Malaysia di seluruh negara, mempamerkan inovasi dan teknologi terkini daripada syarikat tempatan dan global.
Ia bertujuan untuk menunjukkan kesediaan Malaysia dalam meneroka dan berkembang bagi membawa ekosistem digital ke peringkat seterusnya dan membuka pintu untuk perniagaan di rantau ASEAN dan seterusnya.
Acara selama enam minggu berakhir 8 November 2023 itu akan menampilkan beberapa siri acara termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi rangkaian yang membawa kepada MDX Grand Finale yang berprestij dan makan malam anugerah industri eksklusif.
Acara sampingan yang bakal diadakan termasuk Malaysia Digital Content Festival (MYDCF) 2023; Malaysia-Japan Digital Exchange; World Congress IT on Innovation and Technology (WCIT) 2023; Malaysia Cloud and Datacenter Convention 2023; #mydigitalmaker Fair 2023 Finale; Smart Melaka International Conference and Expo (SMIX) 2023; UK Malaysia Artificial Intelligence (AI) Conference 2023 dan 7th Selangor International Business Summit 2023.
I’m not sure where you are getting your info, but good topic. I needs to spend some time learning more or understanding more. Thanks for great info I was looking for this information for my mission.