Selain Mafia Korporat Victor Chin Boon Long, nampaknya Kenneth Vun @ Vun Yun Lun juga menunjukkan kembali taringnya. Kini Kenneth Vun bersama pasukan SM Track Berhad mendalangi gerakan jutawan Jerman Andreas Heeschen untuk merampas KNM Group dengan cara membeli saham murah KNM seterusnya mendesak EGM diadakan menyingkirkan lembaga pengarahnya. Mampukah Andreas Heeschen dan Kenneth Vun menang perang ini?
Pertempuran pengambilalihan KNM Group Berhad antara kumpulan Tunku Yaacob Khyra Pengerusi KNM Group dengan jutawan Jerman Andreas Heeschen didalangi Kenneth Vun@ Vun Yun Lun semakin panas.
Terbaru Tunku Yaacob Khyra melemparkan cabaran terhadap Andreas Heeschen dan Kenneth Vun mafia korporat di belakang tabir yang mahu merampas Borsig Group asset KNM yang sangat berharga dengan harga murah di pasaran terbuka.
Tunku Yaacob, pemegang saham terbesar syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu sekalipun berdepan status PN17 dan masalah kewangan tidak akan berundur dalam perebutan syarikat ini.
Tunku Yaacob yakin akan berjaya dalam pertempuran korporat yang digerakkan oleh Heeschen dan Kumpulan Kenneth Vun diketuai ‘budaknya’ Azmi Osman Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack Berhad yang mempunyai 20,271,700 saham atas nama dan syarikat AZM Trading Venture Sdn Bhd yang mengeluarkan notis permintaan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk memecat beliau dan ahli lembaga pengarah semasa, dan menggantikan mereka dengan pasukan ‘Kenneth Vun’.
Nama-nama pengarah dicadang kumpulan Andreas Heeschen merupakan pengarah dan bekas pengarah milik syarikat Kenneth Vun seperti Datuk Abd Ghani Yusof bekas pengerusi Magna Prima Bhd dan Komakcorp Bhd; Edwin Silvester Das (Ketua Pegawai Eksekutif Jiankun International Bhd), Datuk Zaidi bin Mat Isa @ Hashim (Pengarah eksekutif SMTrack Bhd); dan William H Van Vliet II, (Pengarah bebas bukan eksekutif CN Asia Corp Bhd).
“Bawa pada EGM! Itu suara Tunku Yaacob,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah urusan KNM Ravindrasingham Balasingham.
Tunku Yaacob, melalui Melewar Industrial Group Bhd, mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 9.44% atau 347.2 juta saham. Heeschen, pemegang saham syarikat pembuat senjata api Jerman Heckler & Koch, muncul sebagai pemegang saham besar KNM selepas memperoleh 7.91% kepentingan atau 320 juta saham pada akhir bulan lalu.
Ravindrasingham berkata pengerusinya “tidak bimbang” tentang bidaan Heeschen dan bersedia untuk melabur lebih banyak jika dia perlu untuk melindungi kepentingannya dalam KNM.
“Jangan lupa bahawa Tunku Yaacob telah membelanjakan banyak wang untuk membina kepentingannya di KNM.
“Mungkin kita memerlukan EGM, untuk menghantar mesej kepada semua orang bahawa ‘Saya mempunyai kawalan dan saya tidak akan melepaskannya kepada sesiapa’,” kata Ravindrasingham.
Anak syarikat KNM melalui Kumpulan Borsig menjadi rebutan utama oleh Andreas Heeschen. Oleh itu penguasaan KNM melalui pembelian saham murah KNM adalah satu cara menguasai syarikat itu.
Borsig, sebuah syarikat jentera dan peralatan Jerman yang terkenal, mempunyai penilaian pasaran melebihi €300 juta (RM1.5 bilion). KNM itu telah memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam Borsig pada tahun 2008 dengan harga €350 juta.
Penjualan Kumpulan Borsig pastinya boleh menyelesaikan masalah hutang luar negerinya yang dihadapi oleh KNM Group berjumlah kira-kira RM1.17 bilion.
Ini bukan kali pertama Heeschen cuba merampas Kumpulan Borsig. Heeschen telah dua kali berusaha untuk memperoleh Borsig, percubaan terakhir adalah pada awal 2022 yang “tidak pernah selesai”. Percubaan ketiga kali ini beliau membeli saham murah KNM Group pemilik Kumpulan Borsig dengan harga yang murah dibantu Kumpulan Kenneth Vun.
KNM akan segera menyelesaikan status PN17. Ini termasuk pencarian pra-IPO menjelang akhir 2023 dan IPO menjelang separuh kedua 2024 di SGX. Pengumuman Bursa Malaysia pada Disember tahun lalu lembaga pengarah KNM telah meluluskan penyenaraian Borsig di SGX dengan tujuan untuk mencapai permodalan pasaran sehingga AS$300 juta (RM1.41 bilion pada masa ini) dan penempatan sebanyak 49% daripada modal saham yang diperbesarkan.
Saham KNM ditutup setengah sen atau 4.8% lebih tinggi pada Jumaat, menilai kumpulan itu pada RM445 juta.