Kumpulan terlibat undang-undang berkata Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bukan individu popular dalam perundangan. Beliau lebih banyak di lapangan dan tidak terlibat dengan dasar. Bagaimanapun beliau sudah dipilih dari dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara. Apa Ahmad Terrirudin Mohd Salleh akan buat selepas ini?
Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September ini.
Pengumuman pelantikan itu dibuat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini tiga penyandang terdiri orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Idrus sendiri yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.
Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, Ahmad Terrirudin, 54, pernah bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022.
Beliau berkahwin dengan Datin Zarina Idris dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hon) dari Universiti Malaya pada 1992 itu juga pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 2019.
Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.
Ahmad Terrirudin yang memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu, beliau adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003.
Dalam pada itu, Mohd Zuki turut merakam penghargaan kepada Idrus atas perkhidmatan sepanjang memegang jawatan Peguam Negara.
“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Idrus Harun atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara,” katanya.
Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan beliau dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.
Beliau kemudiannya dilantik semula ke jawatan itu pada 6 Mac 2022 untuk tempoh setahun lagi. Pada 3 Mac lalu, kontrak Idrus sebagai Peguam Negara disambung untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac. – BERNAMA