KUALA LUMPUR 31 Julai – Pelabur asing terus membeli ekuiti Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM637.8 juta minggu lalu, tertinggi sejak lebih setahun lalu apabila mereka beli bersih RM1.18 bilion pada minggu berakhir 18 Mac 2022.
Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, pelabur asing telah menjual bersih RM18.6 juta pada Isnin namun merupakan pembeli bersih sepanjang minggu ini dengan jumlah tertinggi pada Jumaat sebanyak RM181.4 juta.
“Antara Selasa hingga Jumaat, mereka membeli bersih lebih daripada RM100 juta setiap hari dan purata sebanyak RM164.1 juta setiap hari,” kata firma penyelidikan itu hari ini, sambil menambah pelabur asing telah menjual bersih RM3.06 bilion pada 2023, setakat ini.
Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing pada minggu lepas adalah utiliti (RM253.4 juta), perladangan (RM127.8 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM86.3 juta).
Sementara itu, hanya tiga sektor mencatat aliran keluar bersih dalam tempoh tersebut iaitu REIT (RM22.6 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM22.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM8 juta).
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan hanya membeli bersih pada Isnin berjumlah RM54 juta tetapi adalah penjual bersih sepanjang minggu tersebut.
Ini menjadikannya jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak RM403.9 juta, tertinggi sejak minggu berakhir 19 Ogos 2022 pada RM675.9 juta.
Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM3.13 bilion.
Begitu juga pelabur runcit tempatan telah menjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut pada RM233.7 juta.
Mereka telah mencatat aliran keluar setiap hari dengan Isnin sebanyak RM35.4 juta, Selasa (RM63.8 juta), Rabu (RM54.3 juta), Khamis (RM56.3 juta) dan Jumaat (RM24 juta).
Pelabur runcit temaptan telah menjual bersih RM67.9 juta tahun setakat ini.
Dari segi pergerakan pelabur, nila purata dagangan harian (ADTV) meningkat secara keseluruhan, di mana pelabur runcit lebih tinggi 2.5%, sementara institusi tempatan dan asing naik 7.3%.- Dagang News