Kerajaan persekutuan memainkan peranan besar yang tidak dapat dinafikan dalam pembangunan ekonomi negeri, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata kejayaan sesuatu projek terutama berimpak tinggi yang dibangunkan di negeri turut berkait dengan dana dikeluarkan kerajaan persekutuan.
Katanya, memiliki kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan persekutuan adalah “lebih baik” untuk memudahkan urusan pentadbiran, apatah lagi jika para pemimpinnya “bersifat sopan dan bijak”.
“Tapi, akhirnya rakyat yang pilih. Namun, kalau dicerita soal pembangunan ekonomi, katalah di Kedah paling tinggi (pembangunan) contohnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), pelaburannya daripada kerajaan persekutuan.
“Kalau nak kata Kedah sudah berjaya, itu hasil daripada dana kerajaan persekutuan yang hampir keseluruhannya. Saya tidak nafi ada peranan daripada kerajaan negeri tetapi kerajaan persekutuan lebih besar peranannya,” katanya
Anwar Ibrahim dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, menjawab persoalan mahasiswa sama ada rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang selari Persekutuan atau sebaliknya.
Anwar berkata, sektor tertentu seperti minyak dan gas menjadi penyumbang tertinggi dalam pertumbuhan ekonomi di negeri Pantai Timur misalnya adalah kerana melibatkan Petronas yang berada di bawah kerajaan persekutuan.
“Saya ada beritahu menteri besar (Terengganu) bahawa ketika ke China ada pelaburan syarikat petrokimia yang nak ke Johor, saya cakap lihat juga Terengganu sebab ada potensi. Baru ini ada cadangan tenaga angin (melibatkan) kos tinggi yang bercadang nak eksport ke Singapura
“Saya kata angin yang kuat di sebelah Pantai Timur, maka saya pilih Kelantan atau Terengganu. Esok kalau sampai (projek itu) ke sana saya tak mahu nafikan peranan orang Terengganu dan kerajaannya tapi jangan nafikan sebenarnya kekuatan itu daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Menjelang PRN Kedah yang diadakan serentak di lima negeri lain, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional Kedah melancarkan kempen “Kalih Bagi Sama”, dalam usaha merampas kerajaan negeri agar sealiran dengan kerajaan persekutuan.
PRN 6 Negeri hanyalah memilih negeri dan Kerajaan Persekutuan kekal Kerajaan Perpaduan. Negeri-negeri ini akan mengekalkan status quo atau hanya bertukar kerajaan. Misalnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebelum ini Kerajaan PH dan Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah PAS PN.
Manakala UMNO/BN sebelum ini telah memenangi Johor, Melaka, Perak dan Pahang.
Sabah dan Sarawak telah melaksanakan Pilihanraya Negeri sebelum ini yang kini dikuasai GRS dan GPS.