Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad kini berdepan dengan kritikan pengguna dan hampir menjejaskan kepercayaan pemiliknya selepas berdepan dengan beberapa isu kecil dan besar membabitkan mutu produksi produk mereka.
Antara perkara besar yang sehingga kini menimbulkan persoalan adalah selepas Daihatsu Motor Company, anak syarikat Toyota Motor didakwa mengakui menipu dan memalsukan keputusan ujian keselamatan kemalangan melibatkan bahagian panel sisi pintu bagi 88,000 unit kereta yang dijual di bawah jenama Toyota yang turut membabitkan kereta keluaran Perodua.
Dan hari ini pula, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengakui bahawa terdapat isu kebocoran penapis minyak yang menjejaskan hampir 40,000 kenderaan termasuk Perodua Aruz dan model kenderaan yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) seperti Perodua Alza dan Ativa.
Di dalam penjelasan syarikat berkenaan, Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata Perodua menjangkakan isu kebocoran penapis minyak berkaitan vendornya akan dapat diselesaikan pada pertengahan tahun ini.
“Vendor sedia ada mesti membuat penambahbaikan dalam tempoh masa tertentu yang sedang kita pantau.
“Berdasarkan data yang dikumpulkan, kadar tuntutan waranti telah menurun sejak Februari. Ini bermakna masalah telah berhenti berikutan penukaran penapis minyak,” katanya kepada pemberita pada Pameran Auto Malaysia 2023 selepas memperkenalkan kereta konsep kenderaan elektrik pertama Perodua.
Sebelum ini Syarikat berkenaan dikejutkan dengan ketidakaturan prosedur ujian yang didedahkan oleh Daihatsu Co Ltd dan para pembeli model Perodua Alza generasi baharu juga berdepan dengan kepincangan unit infotainment serta kamera undurnya sehingga mengundang kecaman pembeli-pembeli unit berkenaan.
Menyentuh mengenai ketidakaturan prosedur pula, syarikat itu telah melantik Daihatsu Co.Ltd untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia baharu di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.
“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenal pasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya, dan kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian.
“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan kami berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Zainal Abidin berkata syarikat itu akan terus memantau situasi tersebut dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.