Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan mencapai kutipan hasil yang lebih tinggi pada tahun ini berjumlah RM176.14 bilion selepas melakar pencapaian terbaik dalam sejarah dengan kutipan mencecah RM175 bilion pada 2022.
Bagaimanapun, ketidaktentuan ekonomi khususnya di peringkat global memberikan cabaran kepada LHDN untuk mencapai sasaran itu menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata unjuran pertumbuhan ekonomi global turun daripada 3.2 peratus untuk 2022 kepada 2.7 peratus pada 2023 seperti yang dinyatakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Namun, secara keseluruhannya LHDN optimis untuk mencapai jumlah kutipan tahun ini demi merealisasikan hasrat dan agenda pembangunan Malaysia Madani,” katanya
Mengulas lanjut, Ranjeet berkata, dalam aspek komponen cukai langsung juga, terdapat beberapa komponen yang dijangka akan mencatatkan penurunan jumlah kutipan pada 2023.
Beliau berkata, Cukai Pendapatan Petroleum yang merekodkan kutipan RM23.42 bilion pada 2022 dijangka mencatatkan penurunan kepada RM18.242 bilion disebabkan unjuran penurunan harga petroleum mentah dunia.
Katanya, pada 2022, purata harga adalah AS$100 setong dan harga komoditi itu dijangka berlegar pada harga AS$80 satu tong tahun ini.
Selain itu katanya, Cukai Pendapatan Koperasi dianggarkan terus merekodkan penurunan tahun ini seperti yang turut berlaku pada 2022 dengan penurunan 6.6 peratus berbanding 2021.
“Ia disebabkan oleh prestasi perniagaan entiti berkenaan yang masih belum pulih sepenuhnya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Ini menjejaskan kutipan cukai bagi kelompok pembayar cukai berkenaan,” katanya.
Ranjeet berkata, bagi terus mengukuhkan pendapatan kerajaan melalui kutipan hasil, dalam Belanjawan 2023, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif dengan memperkenalkan langkah cukai baharu bagi meluaskan asas cukai.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan beberapa pindaan polisi dan asas cukai baharu antaranya menurunkan kadar cukai ke atas golongan M40, kenaikan kadar cukai ke atas golongan T20, Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Barangan Mewah (CBM).
Katanya, selaras dengan amalan terbaik percukaian antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan CGT bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024 pada kadar yang bersesuaian.
Jelasnya, berdasarkan kajian perbandingan ke atas negara yang telah melaksanakan CGT, cukai ini didapati banyak dilaksanakan di negara membangun dan maju dengan mekanisme dilihat sebagai alat bagi tujuan pemulihan ekonomi, dapat menambah baik dasar fiskal serta mengatasi jurang kekayaan di sesebuah negara.
“Selain itu, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan semasa proses penggubalan CGT secara komprehensif bagi memastikan pelaksanaan CGT berkenaan telah mengambil kira semua isu yang diketengahkan.
“Bagi CBM pula, perkara itu masih diperhalusi di peringkat Kementerian Kewangan berkaitan mekanisme percukaiannya seperti jenis barang yang dikategorikan sebagai barang mewah, nilai ambang kenaan cukai dan kadar cukai yang akan dikenakan,” katanya.
Note: Elok LHDN buru Mafia Korporat seperti Victor Chin Boon Long sudah tentu wang lebih banyak