Nampaknya sentuhan Noor Azri Noor Azerai yang memberi ‘sial’ kepada beberapa syarikat sebelum ini seperti Caely Holding Berhad, Serba Dinamik dan kini Bintai Kinden menambahkan perit Bintai Kinden.
Terbaru Pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif Bintai Kinden Datuk Ibrahim Othman dan pengarah eksekutif Noor Azri Noor Azerai telah dipaksa untuk menjual semua saham mereka dalam syarikat Nota Amalan 17 (PN17) kerana panggilan margin.
Ibrahim melupuskan 500,000 sahamnya atau 0.06% pegangan dalam pasaran terbuka pada harga RM34,605.
Beliau menjual satu blok 79,000 saham pada 6.5 sen sesaham pada 23 Mac dan satu lagi blok 421,000 saham pada tujuh sen sesaham pada 24 Mac, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.
Sementara itu, Noor Azri melupuskan empat blok saham berjumlah 12.6 juta (atau 1.48% kepentingan) antara 28 dan 29 Mac dengan harga RM758,806, juga menurut makluman syarikat itu di bursa.
Bintai Kinden berstatus PN17 bulan lepas selepas unit milik penuhnya, Optimal Property Management Sdn Bhd (OPM), ingkar terhadap kemudahan pembiayaan bernilai RM109 juta, berhubung pembinaan penginapan kampus pelajar Universiti Melaka (Unimel).
Noor Azri menyalahkan kerajaan Melaka kerana tidak mengambil tindakan untuk menangani bayaran RM49.8 juta yang terhutang kepada OPM oleh Kolej Teknologi Islam Melaka Bhd untuk pembinaan projek Unimel.
Sementara itu satu lagi anak syarikat Bintai Kinden, Bintai Kindenko Sdn Bhd, pada Khamis dimaklumkan oleh Malayan Banking Bhd bahawa empat kemudahan perbankan sedia ada syarikat berjumlah RM188 juta telah digantung.
Kemudahan perbankan itu terdiri daripada kemudahan pembiayaan kontrak menyeluruh RM140 juta, kemudahan overdraf RM8 juta, kemudahan jaminan bank RM30 juta, dan kemudahan kontrak pertukaran asing RM10 juta.
“Penggantungan itu akan memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan syarikat dan/atau projek berterusan syarikat dan syarikat itu sedang mencari sumber untuk pembiaya baharu dalam membiayai projek berterusan kumpulan itu,” kata Bintai Kinden dalam satu makluman.
Bintai Kinden mencatatkan kerugian bersih RM1.72 juta untuk sembilan bulan berakhir 31 Dis 2022, berbanding keuntungan bersih RM3.43 juta untuk tempoh yang sama sebelumnya, atas kos operasi yang lebih tinggi dan hutang lapuk yang ditanggung. Ini walaupun pendapatan selama sembilan bulan meningkat kepada RM93.8 juta daripada RM58.34 juta sebelumnya, disumbangkan oleh perniagaan mekanikal dan elektriknya.
Pada akhir Disember 2022, pinjaman semasa syarikat berjumlah RM32.77 juta, manakala pinjaman bukan semasa berjumlah RM102.33 juta.
Mampukah Bintai Kinden bertahan atau tak lama lagi akan melingkup?