Destini Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Zahir Zahur Hussain sebagai Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa 1 Mac ini.
“Zahir memainkan peranan penting kepada pertumbuhan kewangan serta operasi kumpulan merentasi empat industri utamanya iaitu penerbangan, pertahanan, tenaga, mobiliti dan marin,” kata syarikat penyelesaian kejuruteraan bersepadu itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Zahir berada dalam lembaga pengarah Destini sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif sejak Oktober 2020. Beliau juga merupakan pengerusi jawatankuasa audit, jawatankuasa pencalonan dan imbuhan serta jawatankuasa pengurusan risiko, katanya.
Sementara itu, Destini menetapkan semula Abdul Rahman Rejab sebagai pengerusi eksekutifnya bagi menggantikan Datuk Rozabil Abdul Rahman yang telah bersara.
Abdul Rahman telah menjadi pengarah eksekutif syarikat sejak Oktober 2012.
“Abdul Rahman memainkan peranan penting semasa menjadi pengarah dalam mewujudkan serta mengukuhkan perniagaan kumpulan dalam industri berkaitan rel dan pengangkutan.
“Beliau juga mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewangan dan pengurusan aset dengan tanggungjawab terakhirnya dalam AmBank (Malaysia) Bhd,” katanya.