KERAJAAN akan mengkaji semula perincian projek MRT3 untuk memastikan nilai terbaik dan yakin dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada 2018, projek itu dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM68 bilion ringgit (sebelum ditangguhkan selepas itu).
“Tahun lalu, proses perolehan projek dimulakan dan kos projek dianggarkan pada RM50 bilion.
“Semakan ini adalah selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan demi mencapai penjimatan yang dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.
MRT3 melibatkan Laluan Lingkaran dikatakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer melalui sepanjang perimeter bandar raya.
Ia akan mengelilingi Kuala Lumpur dan melalui kawasan berkepadatan tinggi termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.