
Ahli perniagaan ‘scammer’ terkenal Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu, akhirnya direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM75 juta berkait pinjaman mega projek gentian optik oleh syarikat Aries Telecoms (M) Bhd pada tahun 2012.
Ranjeet Singh melalui peguamnya pernah mengugut mahu menyaman portal The Corporate Secret, ditahan kira-kira jam 4 petang pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Mahkamah Majistret Putrajaya pada keesokan harinya membenarkan perintah reman empat hari terhadap beliau sehingga 6 Julai, seperti dimohon SPRM di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Menurut sumber siasatan, penahanan itu berkait pinjaman RM400 juta yang diluluskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) kepada Aries Telecoms bagi membiayai sebahagian daripada projek rangkaian fiber bernilai RM1.3 bilion. Namun, siasatan mendapati dana itu dipercayai tidak digunakan seperti dijanjikan — sebaliknya telah diseleweng ke beberapa entiti dan akaun peribadi termasuk syarikat milik Ranjeet sendiri.

Sumber SPRM mendedahkan bahawa siasatan awal mengesyaki sebanyak RM75 juta telah dipindahkan secara berlapis ke entiti berkaitan suspek, disyaki sebagai sebahagian skim pengubahan wang haram. Tangkapan ini dilakukan hasil risikan ‘Op Fibre’ oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.
Pada 30 Jun, SPRM menggeledah empat premis termasuk kediaman dan pejabat Ranjeet di Selangor dan Kuala Lumpur, serta membekukan 12 akaun bank dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM400,000. Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan tangkapan dibuat dan menyatakan siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Sebelum ini BPMB pada tahun 2022 menyaman dan menamakan 27 defendan termasuk Ranjeet Singh, atas dakwaan penipuan, rasuah, dan penyalahgunaan dana pinjaman. Saman pelanggaran terma pinjaman bagi projek pemasangan kabel fiber di Semenanjung Malaysia.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membenarkan perintah injunksi Mareva terhadap Ranjeet dan beberapa defendan lain untuk membekukan aset mereka, manakala permohonan defendan untuk membatalkan saman ditolak pada Januari 2024. Kes kini menuju ke perbicaraan penuh.
Rekod scammer Ranjeet Singh
Rekod Ranjeet sebagai individu bergelar ‘scammer elit’ turut mencemari nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Pada 22 Julai 2022, Mahkamah Rayuan UK mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi UK yang mengarahkan beliau membayar €101.5 juta (kira-kira RM512 juta) kepada Zavarco PLC, kerana memperuntukkan saham kepada dirinya sendiri secara tidak sah — satu pelanggaran serius Akta Syarikat UK.
Di Malaysia pula, beliau turut diperintahkan membayar:
- RM29.4 juta dalam kes manipulasi akaun Zavarco Berhad
- RM61 juta kepada Zavarco PLC atas kesalahan melesapkan dana pelabur
Gabungan tiga penghakiman tersebut menjadikan jumlah liabiliti sivil Ranjeet melebihi RM600 juta, menjadikannya antara kes penipuan korporat terbesar membabitkan warganegara Malaysia dalam dan luar negara.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengesahkan bahawa satu kertas siasatan berasingan telah dibuka terhadap Ranjeet Singh sejak November 2023, berkait dakwaan skandal pelaburan palsu bernilai RM1 bilion. Kes tersebut disiasat oleh JSJK dan Unit AMLA PDRM, dipercayai turut melibatkan Tan Sri Datuk Seri Rashpal Singh Randhay merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad sejak April 2022. Beliau juga Ahli Lembaga Pengarah CVSKL Foundation.
Ranjeet yang kini berdepan siasatan jenayah dan tindakan sivil serentak, sedang dilihat sebagai simbol penyalahgunaan kekayaan korporat dan akses elit ke institusi kewangan, yang gagal dikesan selama lebih sedekad. Ranjeet Singh terlepas dari mulut polis masuk ke mulut SPRM!