PETRONAS mahu meneruskan kerjasama dan menjadi rakan strategik Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi mencapai situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata perbincangan antara kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak mengenai perkara itu masih berjalan bagi merungkai isu yang tercetus sejak tahun lalu.
Katanya, PETRONAS bercadang membina perkongsian yang menguntungkan dan syarikat petroleum nasional mahu Sarawak turut berkembang dalam industri minyak dan gas (O&G).
“Kami ingin terus menjadi rakan kepada visi terbabit dan saya tahu sesetengah daripada anda bertanya ke mana hala tuju rundingan.
“Kami mahu membina perkongsian yang saling menguntungkan. Kami mahu membantu satu sama lain berkembang berdasarkan pemahaman kekuatan masing-masing. PETRONAS mahu membantu negeri ini merealisasikan cita-citanya,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman prestasi separuh pertama PETRONAS di sini, hari ini.
Tengku Muhammad Taufik berkata, setiap tindakan PETRONAS sentiasa menitikberatkan kepentingan dan implikasi kepada negara.
“Akhirnya, seperti yang saya tekankan berulang kali, kami mempunyai peranan bukan sahaja sebagai syarikat, tetapi untuk negara.
“Kami sentiasa bertindak untuk kepentingan terbaik negara dan saya tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya atau ingin berunding tanpa mempertimbangkan implikasi kepada negara.
“Peranan PETRONAS adalah untuk memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon Malaysia dan menyumbang semula kepada negara serta meneruskan mandat yang diamanahkan,” katanya.
Ditanya sama ada dividen kepada kerajaan akan terjejas akibat rundingan itu, beliau berkata, dasar dividen PETRONAS adalah untuk sentiasa memastikan ia dilaksanakan.
“Kami melakukan pelaburan dan menunaikan kewajipan hutang. Sekiranya terdapat perubahan dalam susunan pentadbiran yang menyaksikan perpindahan nilai akan berlaku
“Aliran tunai di PETRONAS inilah yang akhirnya menentukan kemampuan kami untuk pembayaran dividen. Saya fikir setakat ini implikasinya, keputusan bergantung kepada hasil rundingan yang masih berlangsung,” katanya.