Semuanya bermula daripada penahanan seorang pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu. Pegawai lelaki yang ditahan sejak 1 Mei lalu akhirnya membuat membuka mulut.
Susulan daripada itu pada 5 Mei tiga pegawai kanan termasuk pengurus besar KADA Mohd Faizul Mustafa sebuah agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut SPRM mereka dipercayai terbabit dalam meminta dan menerima wang rasuah daripada beberapa individu atau syarikat, namun jumlah rasuah masih dalam siasatan SPRM.
Mereka akan ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Pengurus Besar KADA pula disambung reman selama tiga hari bermula 6 Mei sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Hakim Nik Habri Muhamad di Mahkamah Sesyen di sini.
Terdahulu, empat pegawai kanan yang memakai baju lokap SPRM tiba jam 9.15 pagi dengan dikawal oleh pegawai SPRM.
Untuk rekod Mohd Faizul Mustafa dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada 1 September 2022 Perikatan Nasional – BN masih berkuasa. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu Datuk Seri Ronald Kiandee. Menurut sumber Faizul seorang pendokong PAS kerana pelantikannya pun atas syor kerajaan negeri PAS.
Susulan penahanan itu Pengerusi KADA Tuan Haji Muhammad bin Husain yang juga Pengerusi AMANAH Kelantan berkata warga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) diminta bertenang susulan penahanan empat pegawai kanan termasuk Pengurus Besar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Elakkan membuat sebarang spekulasi berkenaan kes yang sedang berjalan sehingga boleh menyebabkan gerak kerja dan perkhidmatan KADA kepada petani tergendala,” katanya dalam satu kenyataan