Kecoh mengenai Laporan PAC kerugian kerajaan membeli Ventilator, PPE dan pembaziran Vaksin. Pengerusi PAC salahkan Dr Adham bekas Menteri Kesihatan. Khairy Jamaluddin ventilator kerja Dr Adham Baba. Tapi dia lupa kerugian KKM bukan sebab Ventilator, PPE saja tetapi pembelian vaksin berlebihan. KJ sebelum ini Menteri PICK beliau dan Dato’ Sri Ismail Sabri terkenal sebagai broker Sinovac untuk Pharmaniaga. Apa jadi kepada Pharmaniaga?
Rugi lebih RM500 juta berstatus PN17 kerana kerugian pembelian Sinovac!
Nampaknya isu pembekalan ventilator dan vaksin kembali lagi. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati ada beberapa kejanggalan dalam perolehan kerajaan semasa kemuncak pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan kerugian besar wang pembayar cukai.
Dalam laporan yang dikeluarkan susulan Laporan Ketua Audit Negara PAC mendedahkan tiadanya perjanjian kontrak untuk pembelian 136 mesin ventilator yang dibuat melalui syarikat gergasi farmaseutikal Pharmaniaga Berhad.
Keadaan itu, menyebabkan kerajaan tidak dapat memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula ganti rugi ekoran kerosakan terhadap 104 ventilator yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020.
PAC juga mendedahkan kerajaan mengalami kerugian RM505 juta akibat menerima kira-kira 8.5 juta vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh.
Ia termasuklah dos yang mencapai tempoh luput menjelang 1 Jun tahun ini.
Menurut PAC selain itu mereka menemui maklumat mengenai lebihan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) yang diterima, selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan mencapai tarikh luputnya menjelang akhir 2024.
Menurut PAC, walaupun Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator, syarikat itu dibayar pendahuluan untuk alat bantuan pernafasan berikutan hubungan yang terjalin di antara KKM dan mereka- Pharmaniaga konsesi kepada KKM.
“Ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan 104 ventilator (yang diterima KKM).
“Sehingga hari ini, kekaburan peranan PLSB dalam isu ini menghalang (kerajaan) daripada memulakan proses tindakan undang-undang,” kata PAC
Jawatankuasa itu juga mendapati wujud kenyataan bercanggah antara KKM dan PLSB berhubung jaminan untuk 136 ventilator.
Umum mengetahui hubungan KKM dengan Pharmaniaga apabila konsesi anak syarikatnya Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd disambung lagi 10 tahun untuk membekalkan kemudahan kesihatan awam dengan ubat-ubatan dan bekalan perubatan oleh KKM sejak 1994. Menteri Kesihatan Kerajaan Perpaduan Dr. Zaliha Mustafa mengesahkan sendiri perkara itu. Pharmaniaga Berhad dimiliki secara langsung dan tidak langsung oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera bawah Kementerian Pertahanan.
Atas sebab hubungan yang rapat itu amat mustahil menyingkirkan Pharmaniaga dari projek KKM. Lantaran itu cara KKM berurusan dengan Pharmaniaga boleh membayar pendahuluan dahulu kepada PLSB, tanpa perjanjian dan hanya melalui aplikasi WhatsApp
Pada 16 Feb, menurut siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021, KKM telah memesan 136 ventilator berharga RM20.1 juta melalui peruntukan darurat. Bagaimanapun kemudian didapati ada antara alat berkenaan tidak dapat digunakan.
Mesin-mesin itu – yang ditempah daripada pengeluar Negara China – bertujuan untuk meningkatkan aset perubatan hospital kerajaan semasa pandemik Covid-19. Orang tengah pembelian Ventilator ini ialah Dato’ Seri Wee Kah Siong Menteri Pengangkutan.
Perundingan melalui WhatsApp
Dalam laporannya, PAC mengambil maklum tentang situasi pandemik yang menyebabkan kekurangan peralatan perubatan global dan persaingan antara negara untuk mendapatkan alat tersebut untuk melindungi rakyat masing-masing.
Ditambah dengan perintah kawalan pergerakan dan faktor wabak lain, PAC berkata, ia mendorong kerajaan membuat keputusan pantas, termasuk pegawainya hanya melakukan perbincangan, penilaian dan keputusan melalui WhatsApp.
Menurut PAC, lebihan bekalan vaksin menyebabkan kerugian lebih RM500 juta walaupun KKM memanjangkan jangka hayat vaksin dalam stok mereka sehingga 18 bulan.
Siapa sebenarnya bersalah?
Sidang media Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di bangunan Parlimen pada Khamis (2 November) menyebut Perolehan ventilator tanpa perjanjian bertulis seperti dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini berlaku ketika Dr Adham Baba menjadi Menteri Kesihatan. KJ Menteri Kesihatan selepas itu juga berkata bukan dia menteri bertanggungjawab. Bunyinya seakan-akan menyalahkan Dr Adham seorang.
Hakikatnya ketirisan bukan saja mengenai Ventilator tetapi pembelian PPE dan pembelian vaksin yang berlebihan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin PM8
Kerajaan mesti melihat isu ini secara menyeluruh. Bukan Dr Adham Menteri Kesihatan semata-mata. Tan Sri Muhyiddin Yassin Pengerusi Perikatan Nasional dilantik menjadi PM8 pada 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Menghadapi pandemik Covid-19 maka banyak perbelanjaan digunakan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyekat penularan Covid-19 bermula 18 Mac 2020 sehinggalah beberapa PKPB (Bersyarat), PKPD (Diperketatkan) berlanjutan setahun sehinggalah kemuncaknya pada 11 Januari 2021 Tan Sri Muhyiddin mengumumkan Proklamasi Darurat Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021. Dalam tempoh ini banyak projek rundingan terus diberikan kepada syarikat kroni. Muhyiddin sendiri dengan bangganya mengumumkan RM600 bilion dibelanjakan menghadapi Covid-19. Walaupun ada hakikatnya RM100 bilion sahaja wang kantong kerajaan benar-benar dibelanjakan. Selebihnya sumber lain yang dikira megah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Maka tidak hairan ketika perintah Darurat banyak projek diluluskan dari pembelian bekalan KKM, vaksin hinggalah projek pembangunan seperti Jana wibawa yang mengkayakan kroni kini dalam pendakwaan mahkamah seperti Muhyiddin Yassin, Wan Saiful Wan Jan dan Adam Radlan. Banyak juga taukeh kontraktor ditahan reman.
Pemimpin penting mengendalikan bencana Covid-19 ialah Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Ismail Sabri Menteri Kanan Kluster Pertahanan (Menteri Pertahanan), Dato’ Sri Adham Baba (Menteri Kesihatan) dan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, teknologi dan Inovasi). Semua pemimpin ini saling berkait memberi arahan meluluskan bagi pembelian barangan dan perkhidmatan ketika Covid-19.
Dr Adham Baba Menteri Kesihatan, KSU, KPK dan SUB Perolehan
Dato’ Seri Dr Adham Baba dilantik Menteri Kesihatan pada 10 Mac 2020 hinggalah 16 Ogos 2021. Dalam tempoh ini semua hal kesihatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diluluskannya pada 18 Mac 2020. Pembelian Ventilator yang menjadi isu sekarang ialah ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan.
Bagaimanapun bukan semua masalah disebabkan oleh Dr Adham selaku Menteri Kesihatan tetapi 3 watak pegawai penting dalam KKM ketika Covid-19 melanda ialah Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan dan Wan Hashim Wan Rahim SUB Perolehan KKM ketika itu.
Dilaporkan Menteri pun tidak sepandai 3 pegawai ini dalam bab projek memandangkan menteri orang baharu dalam kementerian. Semua projek dan perolehan ditentukan mereka ini terutama KSU dan SUB Perolehan. Projek rundingan terus, tender terbuka dan tender terhad semua di bawah kuasa mereka.
Pembelian Ventilator, PPE, dan Vaksin misalnya’game’ ditentukan oleh Dr Chen KSU dan SUB Perolehan KKM ketika itu Wan Hashim Wan Rahim. Tarikh perolehan 25 Mac 2020 baucar 12001345 RM30 juta kepada Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd sudah jelas menunjukkan siapa KSU dan SUB Perolehan KKM.
Surat arahan KSU kepada MD Pharmaniaga Logistics membuat pendahuluan pembayaran dan kumpulan WhatApp antara Dr Chen Chaw KSU, Dato’ Farshila Emran Pengarah Urusan Pharmaniaga dan Mr Wong Pegawai Dato’ Seri Wee Kah Siong Menteri Pengangkutan jelas menunjukkan arahan pembelian itu.
Sekalipun ia bukan perjanjian antara KKM dan Pharmaniaga tetapi sudah boleh menjelaskan siapa pihak yang boleh dipersalahkan berhubung kerugian pembelian ventilator ini.
Persoalan besar apa manfaat besar Dato’ Seri Wee Kah Siong Menteri Pengangkutan ketika itu boleh mengarahkan KSU Dr Chen untuk membuat pembelian ventilator? Pembekal merupakan orang Wee Kah Siong? Wee Kah Siong dapat komisen dari jual beli Ventilator? Pembekal yang disyorkan Wee Kah Siong hilang dari radar malah tidak boleh menggantikan Ventilator yang rosak.
Mengapa tidak siasat Dr Chen Chaw KSU, Dato’ Farshila MD Pharmaniaga dan Mr Wong (Pegawai Wee) serta Wee Kah Siong sendiri? Dr Chen Chaw kini adalah Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) syarikat berkaitan industri kesihatan.
Terdapat sumber lain berkata Wan Hashim SUB perolehan KKM berasal dari Kelantan jadi kuda KSU KKM terkenal degil dan sangat ligat dengan kroninya. Ada projek bekalan Menteri tidak tahu tiba-tiba dilakukan tender terhad memanggil semua kontraktor kroninya hadir. Akhirnya yang menjawab masalah ini dengan PAC ialah Encik Fauzee Abd Majid SUB Perolehan dan Dato’ Sri Norazman TKSU (Kewangan) KKM baharu.
SPRM pernah menyerbu KKM dan menyiasat pegawai KKM seperti Dr Chen Chaw KSU KKM, Tan Sri Hashim KP KKM dan SUB Perolehan Wan Hashim Wan Rahim gara-gara skandal rundingan terus Projek Lab Mitigation Solution For Covid-19 oleh Syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd milik Tan Boon Keong syarikat tiada pengalaman dilantik dan diberi pendahuluan RM15.2 juta. Kes ini kecoh pada Mei 2020 susulan terdedahnya surat ini.
Khazanah Jaya ini dibelakangnya ialah Dato’ Sri Lim Kok Han (Dato’ Teleng). Banyak projek rundingan terus ketika pendemik disapu Lim Kok Han. Antaranya pemeriksaan Swap Test di KLIA menggunakan syarikat MyEg. Dato’ Teleng ni rapat dengan KSU KKM Dr Chen Chaw. Siapa tak kenal Lim Kok Han. Mafia korporat geng Victor Chin Boon Long. Kabel terbesar. Maka kes itu ditutup.
Maka apa saja perolehan ketika itu ventilator, PPE, vaksin dan perkhidmatan orang yang paling bertanggungjawab ialah SUB Perolehan KKM, KSU dan Tan Sri Hisham yang semua kawan-kawannya saja dapat projek KKM. SPRM boleh memanggil mereka sekali lagi.
KARTEL PEMBELIAN VAKSIN
Kerajaan berbelanja besar hampir RM5 bilion bagi pembelian vaksin. Jika melihat senarai vaksin dibeli di atas dua vaksin terbesar dibeli ialah Pfizer dan kedua ialah Sinovac. KJ kata beliau tidak terlibat dalam kerugian pembelian Ventilator kerana beliau bukan Menteri Kesihatan ketika itu.
Tapi KJ dan Ismail Sabri terlibat dengan kerugian pembelian vaksin berlebihan.
Bagi pembelian vaksin kerajaan mengalami kerugian RM505 juta akibat menerima kira-kira 8.5 juta vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh.
Pharmaniaga Berhad GLC milik Bousted yang diperah Ismail Sabri dan KJ juga terkesan selepas peruntukan RM552 juta stok vaksid covid-19 tidak dapat dihabiskan sehingga luput menyebabkan Pharmaniaga kerugian bermasalah kewangan sehingga jatuh ke status PN17 sejak februari lalu. Beli vaksin Sinovac dengan harapan boleh dijual kepada industri, kerajaan dan pihak-pihak tertentu tetapi sebaliknya memberi kerugian.
Bukan saja Pharmaniaga rugi tetapi syarikat induknya Bousted Holdings Berhad juga terjejas sehingga terpaksa menukar status kepada syarikat persendirian kembali. Kerugian Pharmaniaga memberi kesan kepada syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Maknanya Pharmaniaga rugi kerana beli Vaksin. Puncanya Ismail Sabri, KJ selepas itu Hishammuddin Tun Hussien (Menteri Pertahanan). Merekalah broker utama untuk SINOVAC!
Mengapa semua ini terjadi? Mengapa Pharmaniaga menjadi anak emas dalam pembelian vaksin selepas Pfizer?Jawabnya semua pembelian vaksin di atas mempunyai kartelnya tersendiri.
Khairy Jamaludin Menteri MOSTI
Sekalipun Menteri Kesihatan ialah Dr Adham Baba watak KJ muncul sebagai bayang-bayang kepada Menteri Kesihatan. KJ yang dilantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 Mac 2020 hinggalah 16 Ogos 2021 juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Pasukan Petugas Khas Vaksinasi bersama Menteri Kesihatan ini pada mulanya ‘caca marba’.
Diawal peranan KJ sebagai Menteri PICK beliau lebih banyak memainkan peranan sebagai broker syarikat vaksin. KJ dilaporkan mengawal Fasiliti COVAX, Sinovac, Astrazeneca dan Cansino. Semua budak-budaknya menjadi agen kepada syarikat-syarikat Vaksin.
Langkah awal beliau ialah mengarahkan Malaysia menyertai COVAX dan perlu membayar USD22.656 juta (RM94 juta) melalui ‘orang tengah’ kumpulan vaksin GAVI. Tidak terus kepada pengeluar vaksin. Jumlah terbaru RM121.1 juta.
KJ dan Ismail Sabri -Sinovac
Bukan lagi rahsia KJ dan Ismail Sabri yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika itu mendapat manfaat daripada pembelian vaksin Sinovac. Pharmaniaga digunakan sebagai kuda KJ dan Ismail Sabri untuk monopoli vaksin Sinovac. Lantaran itu vaksin Sinovac merupakan vaksin kedua tertinggi.
KJ dan Ismail Sabri tidak dapat mengawal PFizer kerana lebih awal di bawah kawalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Adham Baba maka Ismail Sabri dan KJ menggunakan Pharmaniaga untuk Sinovac.
Sekalipun ketika itu Vaksin Sinovac belum mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagaimana disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah namun vaksin COVID-19 Sinovac yang tiba di KLIA di penghujung februari 2021 disambut meriah oleh KJ dan Ismail Sabri. Demi Pharmaniaga akhirnya NPRA meluluskan Sinovac.
Tidak hairanlah jika KJ menjadi Menteri pertama menggunakan vaksin Sinovac bagi memberi keyakinan kepada rakyat. Pemasaran KJ itu berjaya. Rakyat yakin dengan Sinovac.
Perhatian kepada vaksin Sinovac oleh Ismail Sabri dan KJ menjadikan Pharmaniaga milik Bousted Holdings Bhd itu untung sekelip mata ratusan juta. Ismail Sabri sebagai Menteri Pertahanan menggunakan sepenuhnya Bousted dan Pharmaniaga. Namun ketamakan Pharmaniaga memakan diri.
Maka tidak hairan selepas Ismail Sabri menjadi PM9 beliau mengarahkan KJ Menteri Kesihatan untuk membeli lagi vaksin Sinovac. Ini diakui KJ sendiri dalam ‘Keluar Sekejab’.
KJ juga broker kepada Vaksin Astrazeneca pengeluar vaksin daripada UK – Oxford. KJ adalah orang penting kepada pembelian dan penerimaan Astrazeneca di Malaysia. Di kala vaksin Pfizer terlewat dan diisi dengan Sinovac serta ketakutan rakyat kepada Covid-19 maka KJ melakukan percubaan sukarela untuk vaksin Astrazeneca. KJ berjaya malah permohonan sukarela itu mendapat sambutan.
Banyak isu ketika Astrazeneca dibuka melalui online oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga portal janji temu vaksin AstraZeneca ‘tersekat’. Kecoh ketika itu netizen menyalahkan sistem portal bernilai RM70 juta sebagai tidak berbaloi.
Selain menggunakan dana KKM KJ juga ketika Menteri MOSTI berbelanja besar dalam kementeriannya untuk kempen media komunikasi strategik Program Pelaksanaan Imunisasi kebangsaan Covid-19 dengan melantik sahabat baiknya Syarikat Grey Worldwide Sdn Bhd(Grey Malaysia) dengan kos RM7.7 juta. Syarikat ini dilihat gagal sehinggalah KKM sendiri berbelanja untuk kempen media ini.
Belum masuk kisah KJ melancarkan projek sistem MyTrace untuk menjejaki pesakit Covid-19 yang gagal walaupun membelanjakan RM5 juta. Sistem dibina MIMOS /MOSTI itu tidak mendapat pilihan rakyat berbanding Aplikasi MySejahtera. Bimbang menjadi isu maka KJ ketika Menteri KKM beliau menggabungkan MyTrace ini dengan MySejahtera. MySejahtera yang dikaitkan dengan kroni pemimpin Bersatu dilaporkan menuntut RM338.6 juta selepas sistem itu digunakan oleh negara.
Banyak lagi kerosakan yang dilakukan ketika KJ sebagai Menteri MOSTI dan Menteri Kesihatan. Pembelian Ambulan RM300 juta kepada AVP Engineering Sdn Bhd, bekalan kain uniform dan lain-lain. Maka siapa kata Dr Adham Baba seorang punca ketirisan di KKM? Siapa kata KJ tidak terlibat dalam belanja besar beli vaksin Sinovac, Astrazeneca dan Cansino?
BACAAN Berkaitan- Saham Pharmaniaga syarikat kesayangan Ismail Sabri, KJ jatuh 50%, cetus PN17 atau melingkup..