Stealth Solutions milik Dato’ Amrul Hisyam mengambil alih 27.28 peratus saham TH sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Theta Edge. Nama Farhash Salvador pula kembali disebut. Siapa di belakang penjualan saham Tabung Haji kepada Stealth Solutions? Bagaimana hubungan Farhash dengan Dato’ Amrul dan Datuk Aminudin?

KUALA LUMPUR: Ketika perhatian awam tertumpu kepada polemik penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pengurusan dan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH), satu lagi transaksi besar melibatkan kepentingan korporat institusi itu dilihat masih kurang diperkatakan. Tak ramai yang sedar apa yang berlaku sekalipun pengumuman di Bursa Malaysia telah dibuat pada januari 2026.
Tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) melepaskan keseluruhan kepentingannya dalam Theta Edge Berhad kepada Stealth Solutions Sdn Bhd mencetuskan persoalan mengenai rasional pelupusan aset berkenaan serta pihak yang kini menguasai syarikat teknologi tersebut.
Menurut pemakluman korporat sebelum ini, TH melupuskan sebanyak 32.18 juta saham Theta Edge, bersamaan kira-kira 27.28 peratus, melalui urus niaga luar pasaran pada 2 Januari 2026.
Pelupusan itu menamatkan kedudukan TH sebagai pemegang saham terbesar Theta Edge sejak tahun 2000

Stealth Solutions membeli jumlah saham yang sama dan muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar baharu Theta Edge. Semua dilakukan dan dirancang lebih awal agar Stealth Solutions memperolehi saham Tabung Haji dalam Theta Edge.
Harga transaksi tidak dinyatakan dalam pemakluman Bursa Malaysia namun berdasarkan data urus niaga luar pasaran yang dilaporkan Bloomberg, saham tersebut dipercayai bertukar tangan pada harga 90 sen sesaham, menjadikan keseluruhan urus niaga bernilai kira-kira RM28.96 juta.
Harga itu merupakan premium sekitar 23.3 peratus berbanding harga penutup Theta Edge sebanyak 73 sen pada hari berkenaan. The Edge Malaysia

TH keluar daripada Theta Edge selepas lebih dua dekad
TH bukanlah pelabur baharu dalam Theta Edge. Dana pendeposit haji itu dilaporkan menjadi pemegang saham syarikat berkenaan—ketika masih dikenali sebagai Lityan Holdings Berhad—sejak sekitar tahun 2000.
Pegangan TH pernah mencecah kira-kira 68.7 peratus pada 2015, sebelum sebahagian saham dilupuskan pada Mac 2021. Penjualan pada Januari 2026 akhirnya menyaksikan TH keluar sepenuhnya daripada Theta Edge selepas lebih dua dekad terlibat dalam syarikat itu.
Pelupusan tersebut menimbulkan beberapa persoalan yang wajar dijelaskan secara terbuka:
* Apakah asas penilaian yang digunakan untuk menetapkan harga pelupusan?
* Adakah proses jualan dibuat melalui bidaan terbuka atau rundingan terus?
* Mengapakah Stealth Solutions dipilih sebagai pembeli?
* Adakah TH membuat penilaian terhadap prospek projek dan kontrak kerajaan Theta Edge sebelum melepaskan kepentingannya?
Persoalan itu lebih signifikan kerana pada Februari 2026—tidak sampai dua bulan selepas pelupusan—Theta Edge memperoleh kontrak bernilai RM22.7 juta daripada TH sendiri bagi penyewaan peralatan dan perkhidmatan terurus untuk tempoh lima tahun.

Siapa Dato’ Amrul Hisyam?
Stealth Solutions dikawal oleh Dato’ Amrul Hisyam Alias, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Stealth.
Semakan korporat yang dilaporkan media menunjukkan Amrul memiliki 75 peratus saham Stealth Solutions, manakala baki 25 peratus dimiliki isterinya Norul Azwani Mohd Hanafi. Rekod syarikat yang dikemukakan turut menunjukkan Amrul telah menjadi pengarah Stealth Solutions sejak 2006 bersama isterinya Datin Norul Azwani Mohd Hanafi (2013).

Stealth Solutions diperkenalkan sebagai syarikat infrastruktur telekomunikasi yang terlibat dalam pembangunan, pemilikan dan pengendalian menara serta rangkaian telekomunikasi di Malaysia.
Tidak sampai dua minggu selepas syarikatnya mengambil alih blok saham TH, Amrul dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Theta Edge pada 15 Januari 2026. Theta Edge mengesahkan bahawa beliau merupakan calon atau wakil pemegang saham utamanya, Stealth Solutions.

Peralihan tersebut menunjukkan bahawa urus niaga itu bukan sekadar pelaburan pasif. Stealth Solutions bukan sahaja muncul sebagai pemegang saham terbesar, malah pemilik pengawalnya terus menduduki jawatan eksekutif kanan dalam lembaga Theta Edge.
Bagaimana Farhash dan Dato’ Amrul jadi rakan niaga ? Semuanya ialah melalui Datuk Aminudin Mustapha @ Amin Botak
Kontroversi Stealth Solutions dalam Common Tower Technologies anak syarikat Qhazanah Sabah
Melalui rangkaian Datuk Amin Botak, Dato’ Amrul dan syarikatnya, Stealth Solutions Sdn Bhd lebih awal melebarkan pengaruh korporat ke Sabah menerusi pengambilalihan 45 peratus kepentingan dalam Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) daripada Qhazanah Sabah Bhd, syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah.

Mengapa CTTSB sangat penting kerana CTTSB ialah syarikat infrastruktur telekomunikasi yang mempunyai kedudukan penting dalam pembangunan menara komunikasi di Sabah, termasuk pelaksanaan infrastruktur berkaitan program Jalinan Digital Negara atau JENDELA. Kuasai CTTSB bermakna menguasai projek dan monopoli semua projek infrastruktur telekomunikasi negeri.
Urus niaga tersebut pernah mencetuskan pertikaian serta pelbagai dakwaan dalam beberapa penerbitan media. CTTSB juga dilaporkan pernah menjadi sasaran serbuan SPRM berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas pengerusinya. Bagaimanapun, siasatan terhadap penjualan 45 peratus saham CTTSB dan beberapa isu berkaitan telah ditutup oleh Tan Sri Azam Baki bekas KP SPRM ketika itu kerana Datuk Mohd Aminudin Mustapha ‘Budak Azam Baki’ sebagai pengarah CTTSB.

Rekod semasa menunjukkan CTTSB masih menyenaraikan Dato’ Amrul Hisyam Alias dan Datuk Mohd Aminudin Mustapha sebagai anggota lembaga pengarahnya. Kedudukan mereka mengukuhkan hubungan korporat antara Stealth Solutions dan CTTSB selepas pembelian 45 peratus kepentingan dalam syarikat menara telekomunikasi berkenaan. Qhazanah Sabah tidak boleh membuang Stealth Solutions dan perlu membayar ratusan juta pampasan jika berbuat demikian.
Hubungan korporat Aminudin–Farhash : Cubaan monopoli lisen mineral di Sabah
Datuk Mohd Aminudin Mustapha ‘ Budak Azam Baki’ bukan calang orang. Banyak artikel mendedahkan hubungan Azam Baki dengan Amin Botak ini. Kontroversi besar ialah skandal Silverlake Bank Rakyat, penjualan saham CTTSB dan terbaru lesen penerokaan mineral di Sabah
Nama Datuk Mohd Aminudin Mustapha turut muncul bersama Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam rekod pengarah Bumi Suria Sdn. Bhd yang kontroversi susulan pendedahan isu lesen mineral oleh Datuk Albert Tei di Sabah.

Pemegang sahamnya Borneo Bumi Sdn Bhd juga turut Farhash dan Amin Botak sebelum ini menjadi perhatian susulan laporan media mengenai kontroversi penerokaan mineral di Sabah, khususnya membabitkan kawasan kira-kira 70,000 hektar di Kalabakan — hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.
Kerajaan Sabah menafikan pemberian 70,000 hektar kepada Farhash kerana kelulusan sebelum ini hanyalah kelulusan kebenaran untuk meneroka bukan lesen penerokaan kawasan.

Sumber mendedahkan di belakang semua syarikat ialah Dato’ Amrul Hisham yang pegangan sahamnya melalui Datuk Amin Botak. Bagaimana Farhash dan Amin Botak boleh membeli syarikat Bumi Suria pada awal Mei 2024 masih kekal misteri hingga kini. Bumi Suria sebelum ini mendapat kelulusan permohonan lesen penerokaan namun di batalkan pada mac 2025 selepas kontroversi melanda.


Pada 9 September 2025, SPRM mengumumkan bahawa siasatan berhubung isu penerokaan mineral di Sabah yang turut dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, telah selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, berkata keputusan tersebut dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kesalahan jenayah yang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak, sama ada di bawah Akta SPRM 2009 mahupun Kanun Keseksaan. Menurut beliau, siasatan telah melibatkan rakaman keterangan semua pihak berkaitan, termasuk Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) dan kerajaan negeri, sebelum pihak pendakwaan turut memutuskan bahawa tiada isu tadbir urus, sekali gus membawa kepada penutupan kes berkenaan.

ADAKAH FARHASH DI BELAKANG PENGAMBILALIHAN THETA EDGE?
Apakah Farhash berada di belakang perubahan pemilikan Theta Edge Bhd? Persoalan itu tercetus selepas Stealth Solutions Sdn Bhd mengambil alih 27.28 peratus kepentingan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Theta Edge. Stealth Solutions milik Dato’ Amrul Hisyam Alias, rakan niaga utama Datuk Mohd Aminudin Mustapha.
Untuk memahami mengapa perkembangan kronologi perlu ditelusuri kembali kepada tahun 2024, ketika nama Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mula muncul dalam beberapa syarikat teknologi yang mempunyai kepentingan dalam kontrak kerajaan.
Pada Mac 2024, Farhash bersama Sultan Kelantan menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd memperoleh kepentingan 15.9 peratus dalam HeiTech Padu Bhd, sebuah syarikat teknologi yang telah lama melaksanakan pelbagai projek berkaitan kerajaan.
Kemunculan Farhash sebagai pemegang saham HeiTech Padu mencetuskan perhatian susulan kontrak penyelenggaraan dan sokongan teknikal MySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai hampir RM190 juta.
Sekalipun Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan bahawa keputusan kerajaan memilih HeiTech Padu telah dibuat lebih awal namun ramai melihat sama ada pembelian saham Farhash berlaku selepas keputusan tender MySIKAP atau selepasnya tidak penting kerana semua tahu lobi projek dibuat oleh Farhash lebih awal
Farhash pernah muncul Theta Edge
Dalam tempoh yang sama, Farhash mendedahkan bahawa beliau bersama seorang rakan perniagaan telah memperoleh 4.97 peratus saham Theta Edge pada 13 Mac 2024. Beberapa media melaporkannya
Maka dalam tempoh yang hampir serentak, Farhash dilihat mempunyai kepentingan dalam dua syarikat teknologi yang berada dalam radar projek kerajaan — HeiTech Padu dan Theta Edge.
Beberapa bulan kemudian REDtone Digital Bhd, yang dikaitkan dengan Tan Sri Vincent Tan, turut muncul sebagai pemegang saham besar Theta Edge, dengan pegangan meningkat daripada 5.43 peratus pada Julai 2024 kepada 12.66 peratus pada Januari 2025. Perkembangan itu turut menarik perhatian memandangkan hubungan perniagaan antara Vincent Tan dan Farhash telah diketahui umum.

Perebutan projek NIISe
Hubungan silang tersebut menjadi semakin menarik apabila persaingan bagi projek National Integrated Immigration System (NIISe) memuncak pada 2024.
Theta Edge dan DNex ketika itu dilaporkan berada dalam kelompok syarikat yang dikaitkan dengan persaingan NIISe bersama HeiTech Padu dan beberapa pemain teknologi lain. Farhash mempertahankan strategi pelaburannya dengan menyatakan bahawa pelaburannya tidak tertumpu kepada HeiTech Padu semata-mata, sebaliknya merangkumi syarikat teknologi Bumiputera lain.
Persaingan tersebut akhirnya memihak kepada HeiTech Padu, apabila kerajaan menganugerahkan kontrak NIISe bernilai RM892.19 juta pada Oktober 2024.
Dengan itu, episod 2024 memperlihatkan satu keadaan yang luar biasa dari sudut korporat: Farhash mempunyai kepentingan dalam Theta Edge, sementara pada masa yang sama mempunyai kepentingan melalui Rosetta Partners dalam HeiTech Padu — syarikat yang akhirnya memperoleh kontrak NIISe.
Bagaimana dengan Theta Edge? Pemilikan 27.28 peratus saham Theta Edge milik TH oleh Stealth Solutions dan Dato’ Amrul Hisyam Alias tidak mungkin diperolehi tanpa bantuan Datuk Mohd Aminudin Mustapha dan Farhash Wafa Salvador.
Penguasaan, pembelian saham dan pengambilalihan kepentingan dalam syarikat senarai awam bukan sesuatu yang baharu bagi Datuk Farhash Wafa Salvador. Beliau sebelum ini pernah muncul dalam beberapa syarikat tersenarai, antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Bhd, Key Alliance Group Bhd dan Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd, selain pernah menerajui 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. Namanya turut dikaitkan dengan urus niaga korporat melibatkan HeiTech Padu, Theta Edge, MMAG Holdings dan cubaannya untuk merampas NexG Bhd.

Theta Edge raih bahagian projek LRT RM3.028 bilion
Sebelum ini beberapa kali konsortium disertai oleh Theta Edge bagi projek LRT dan ART tidak pernah berjaya. Namun selepas dibeli oleh Dato’ Amrul Hisham Theta Edge senarai dalam konsortium usaha sama MRCB–Theta Edge bagi projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM3.028 bilion pada 6 Ogos 2026.
Kontrak tersebut meliputi tujuh pakej utama sistem rel, termasuk tren elektrik, peralatan depot, bekalan kuasa, telekomunikasi, sistem isyarat dan kemudahan berkaitan.
Bagaimanapun berdasarkan struktur usaha sama yang dilaporkan, MRCB memegang 90 peratus manakala Theta Edge memiliki 10 peratus dalam usaha sama berkenaan.
Apakah Tabung Haji rugi kerana menjual semua kepentingannya dalam Theta Edge kira-kira nilai kira-kira RM28.96 juta kepada Stealth Solutions dan kini mendapat projek berbilion ringgit?
Adakah Tabung Haji sebenarnya rugi apabila melepaskan keseluruhan kepentingannya dalam Theta Edge Stealth Solutions Sdn Bhd pada nilai kira-kira RM28.96 juta?

Lebih ironis selepas dijual Theta Edge memperoleh kontrak bernilai RM22.7 juta daripada TH sendiri bagi penyewaan peralatan dan perkhidmatan terurus untuk tempoh lima tahun.
Kini Theta Edge memperoleh pula kontrak berbilion ringgit. Jika Theta Edge memperolehi 10 peratus dari projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM3.028 bilion pun Theta Edge mempunyai RM302,800,000!
Justeru, isu yang wajar dinilai bukan sekadar harga jualan saham ketika transaksi dibuat, tetapi sama ada TH telah melepaskan kepentingannya terlalu awal sehingga kehilangan potensi kenaikan nilai dan pulangan masa hadapan. Theta Edge mempunyai sejarah panjang dengan TH maka sewajarnya TH menjelaskan kepada rakyat apatah lagi sekarang dengan pendedahan RCI kerugian demi kerugian TH ditunjukkan.
