Sunway begitu terdesak untuk memiliki IJM. IJM pula terus fokus menghadapi kes rasuah pengerusinya Tan Sri Krishnan Tan. Sementara itu ketegangan korporat antara IJM Corporation Berhad (IJM) dan Sunway Berhad semakin memuncak apabila IJM tampil menafikan dakwaan bahawa wujud rundingan awal sebelum pengumuman tawaran pengambilalihan (VTO) dibuat Januari lalu.
Tiba-tiba dalam sidang media Tan Sri Jeffrey Cheah dia mengumumkan sendiri Sunway bersih dari rasuah berdasarkan surat SPRM walaupun pada hakikatnya Sunway terlibat dengan kes rasuah Pusat Data yang memalukan apabila pengurusnya yang menerima wang RM7.5 juta dan membakar RM1 juta wang tidak dituduh dimahkamah. Semuanya demi memiliki IJM.
Dalam kenyataan tegas, IJM menolak naratif bahawa sebarang tawaran telah dikemukakan pada 9 Januari 2026, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak tepat dan berpotensi mengelirukan pasaran.
Tiada Rundingan Awal Seperti Didakwa
Menurut IJM, sebarang komunikasi sebelum 12 Januari hanyalah permintaan untuk mengadakan mesyuarat — bukannya rundingan rasmi atau tawaran pengambilalihan.
IJM menegaskan, tiada perbincangan substantif mengenai cadangan pengambilalihan berlaku sebelum notis rasmi diserahkan.
“Notis rasmi hanya diterima pada petang 12 Januari daripada penasihat utama tawaran, sebelum kedua-dua pihak membuat pengumuman awam pada malam yang sama,” katanya.
“IJM turut menegaskan bahawa sebarang perbincangan awal antara Sunway dan pemegang saham institusi, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), dibuat tanpa pengetahuan atau pembabitan lembaga pengarah serta pengurusan IJM,” katanya.
Isu ‘Backdoor Engagement’ dengan Pemegang Saham
Lebih kontroversi, IJM turut membayangkan kemungkinan wujudnya perbincangan awal antara Sunway dan pemegang saham utama — termasuk institusi berkaitan kerajaan (GLIC) — tanpa pengetahuan pihak pengurusan IJM.
Menurut IJM, jika benar rundingan tersebut berlaku, ia dilakukan di luar radar lembaga dan pengurusan syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan tadbir urus dan ketelusan proses pengambilalihan.
Persoalannya siapa agaknya perunding awal di belakang IJM itu? Apakah orang tengah yang dikaitkan dengan PMAC Menara KLCC Tingkat 73 yang kecoh bawah Datuuk Seri Mohd Fuad?

Apakah Lembaga pengarah KWSP dan PNB terlibat? Baru-baru ini kedua -dua pemegang saham institusi milik Kerajaan mengesahkan menolak tawaran Sunway.
Kebimbangan Strategik: IJM Hanya Jadi ‘Kontraktor Binaan’?
IJM turut melahirkan kebimbangan terhadap cadangan pembahagian peranan pasca pengambilalihan yang dibayangkan oleh pihak Sunway.
Cadangan tersebut dilihat berpotensi:
- Mengehadkan IJM kepada projek pembinaan awam dan infrastruktur sahaja
- Memindahkan segmen bernilai tinggi seperti pusat data kepada Sunway
- Mengurangkan potensi pertumbuhan jangka panjang IJM secara menyeluruh
Situasi ini, menurut IJM, berisiko menjejaskan kepentingan pemegang saham sedia ada sekiranya syarikat dihadkan kepada peranan operasi tanpa akses kepada segmen bernilai tinggi.
Tawaran Tidak Adil dan Tidak Munasabah
Dalam masa sama, penilaian oleh penasihat bebas, M&A Securities Sdn Bhd, menjadi sandaran utama penolakan lembaga IJM.
Firma tersebut menyimpulkan bahawa:
Tawaran pengambilalihan oleh Sunway adalah tidak adil dan tidak munasabah
Sehubungan itu, lembaga IJM sekali lagi mengulangi pendirian bahawa pemegang saham disaran menolak tawaran tersebut
IJM turut menegaskan bahawa penilaian terhadap syarikat tidak boleh dibuat hanya berdasarkan prestasi jangka pendek.
Sebaliknya, IJM menegaskan syarikat kini berada dalam fasa peralihan yang kritikal, apabila aset-aset konsesinya mula beralih daripada peringkat pembangunan kepada fasa operasi, sekali gus mengukuhkan potensi aliran tunai jangka panjang. Pada masa yang sama, nilai strategik kumpulan tersebut masih belum direalisasikan sepenuhnya. Justeru, menurut IJM, tawaran semasa dilihat gagal mencerminkan nilai sebenar serta potensi masa depan syarikat.
Perkembangan terkini memperlihatkan pertembungan antara dua gergasi korporat ini semakin memanas, bukan lagi sekadar isu pengambilalihan semata-mata, tetapi turut melibatkan perebutan naratif pasaran, pengaruh terhadap pemegang saham, serta hala tuju strategi jangka panjang syarikat. Dengan kedua-dua pihak tampil mempertahankan pendirian masing-masing, tumpuan kini beralih kepada keputusan pemegang saham — yang bakal menjadi penentu arah masa depan IJM dalam fasa kritikal ini.
