Lebih sebulan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka mengumumkan sedang mengesan Adam Radlan Adam Muhammad, persoalan kritikal masih belum terjawab: di manakah sebenarnya Adm Radlan yang diburu ini berada, dan bagaimana beliau boleh menghilang tanpa dikesan sehingga kini?
Pada 15 November lalu, SPRM memaklumkan kepada media bahawa Adam Radlan, 44, yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, sedang dikesan bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya–KLIA (MEX 2). Alamat terakhir yang direkodkan ialah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, namun sehingga kini, keberadaannya masih tidak diketahui umum.
Lebih membangkitkan persoalan, Adam Radlan bukanlah individu asing dalam radar penguat kuasa. Beliau sebelum ini dilepaskan dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa, selepas menerima tawaran kompaun RM4.1 juta daripada SPRM — satu keputusan yang ketika itu mencetuskan perdebatan awam mengenai ketelusan dan konsistensi pendakwaan kes berprofil tinggi. Atau adakah dia akan menjadi kes utama kes rasuah Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Daripada Jana Wibawa ke MEX 2: Corak Sama?
Walaupun terselamat daripada hukuman penjara dalam kes Jana Wibawa, Adam Radlan kini sekali lagi muncul dalam siasatan baharu, kali ini melibatkan projek infrastruktur berskala besar MEX 2. Menurut rekod pertuduhan terdahulu, beliau pernah didakwa:
• meminta suapan 3.5% hingga 7% daripada nilai projek,
• menerima RM500,000 sebagai imbuhan membantu kelulusan projek rundingan terus,
• serta terlibat dalam aliran dana melebihi RM4.1 juta daripada beberapa individu dan syarikat berkaitan projek kerajaan.
Kesemua dakwaan itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai kesalahan serius di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta AMLA 2001, dengan potensi hukuman penjara sehingga 20 tahun — namun akhirnya diselesaikan melalui kompaun.
Kini, dengan siasatan baharu MEX 2, persoalan timbul sama ada modus operandi yang sama sedang disiasat semula, atau wujud pendedahan baharu yang lebih besar sehingga mendorong SPRM mengeluarkan kenyataan rasmi memburu beliau.
Hubungan Keluarga & Rangkaian Elit
Adam Radlan turut dikaitkan sebagai sepupu kepada Datuk Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang lari ke Dubai. Beliau juga merupakan bekas menantu kepada Tan Sri Abu Juling, seorang tokoh korporat yang kini didakwa SPRM dalam kes berasingan.
Gabungan hubungan politik, korporat dan sejarah pertuduhan berat ini menjadikan kehilangan Adam Radlan bukan sekadar isu individu, tetapi ujian kepada keupayaan penguatkuasaan undang-undang dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan rangkaian elit.
Menghilang atau Dilindungi?
Ketiadaan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan terkini pencarian Adam Radlan menimbulkan spekulasi awam:
• Adakah beliau sudah meninggalkan negara?
• Adakah kegagalan pengesanan berpunca daripada kelemahan pemantauan selepas kes Jana Wibawa?
• Atau wujud faktor lain yang menyukarkan tindakan segera?
Setakat ini, SPRM hanya meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu, tanpa mengesahkan sama ada notis larangan keluar negara pernah dikeluarkan, atau sama ada usaha pengesanan antarabangsa sedang digerakkan.
Ujian Kredibiliti SPRM
Kes Adam Radlan kini menjadi penanda aras penting kepada komitmen SPRM dalam memastikan tiada individu kebal undang-undang, khususnya selepas kontroversi penyelesaian kompaun kes Jana Wibawa.
Awal Disember lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memaklumkan bahawa Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, telah menyatakan kesediaannya untuk kembali ke Malaysia dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuhraya MEX II.
Menurut Azam, jaminan tersebut telah disampaikan kepada SPRM melalui peguam Adam, dengan kehadirannya diperlukan semata-mata sebagai saksi bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.
Namun benarkah?
