
Kuala Lumpur- Symphony Life Berhad mengumumkan telah melantik Datuk Kenneth Vun Yun Lun sebagai Pengarah Urusan baharunya, berkuat kuasa 26 Mac 2025. Pelantikan ini dibuat kurang dari sebulan selepas XOX Berhad pemegang saham terbesar Symphony Life dengan pegangan 14.84%, melantik Vun sebagai Pengarah Urusan syarikat itu pada 28 Februari lalu.
Datuk Kenneth Vun membawa kepakaran dalam pasaran modal dan kepimpinan korporat. Pelantikannya dijangka memperkukuh strategi pertumbuhan Symphony Life, terutama dalam mengadaptasi teknologi pintar dalam pembangunan hartanah dan meneroka peluang dalam infrastruktur digital.
“Pelantikan Datuk Kenneth Vun menandakan langkah penting dalam hala tuju syarikat. Kami yakin kepakaran dan visi beliau akan membantu Symphony Life dalam memperkukuhkan daya saingnya di pasaran,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Selain Symphony Life, XOX juga mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat lain, termasuk Cheetah Holdings Bhd (20.85%), XOX Technology Bhd (25.95%) dan Jadi Imaging Holdings Bhd (21.6%), menurut laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024.
Prestasi Kewangan Symphony Life dan XOX
Atas rekod kedua-dua Symphony Life dan XOX mencatatkan kerugian dalam tahun-tahun kebelakangan ini. XOX mengalami kerugian dalam lapan daripada sembilan tahun kewangan terakhirnya. Bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Disember 2024 (1QFY2025), kerugian bersih syarikat meningkat kepada RM21.17 juta daripada RM18.67 juta setahun sebelumnya, manakala hasilnya kekal hampir tidak berubah pada RM62.16 juta.
Symphony Life juga berada dalam kedudukan kewangan yang mencabar. Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (9MFY2024), kerugiannya meningkat kepada RM7.64 juta berbanding RM462,000 dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Hasil syarikat turut menyusut kepada RM25 juta daripada RM62.99 juta dalam 9MFY2023.
Kehadiran semula Datuk Kenneth Vun Yun Lun syarikat Symphony Life dan XOX dilihat sebagai harapan memulih dan memperkukuh semula kedua-dua syarikat itu.
Di Symphony Life, pemegang saham utama lain termasuk Sanston Financial Group Ltd dengan pegangan sebanyak 4.89% dan Morgan Stanley & Co International Plc dengan 4.75% yang juga dilaporkan dikaitkan Datuk Kenneth Vun.
Saham Symphony Life ditutup tidak berubah pada 26.5 sen pada hari Rabu, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM189.86 juta. Sementara itu, saham XOX meningkat setengah sen kepada 47.5 sen, dengan nilai pasaran sebanyak RM88.09 juta.