Serba Dinamik Holdings Bhd mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) untuk membatalkan sekuriti syarikat daripada dinyah senarai di bursa tempatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata ini adalah disebabkan syarikat itu diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities pada 16 Ogos, 2023.
Pada 16 Ogos, Serba Dinamik berkata ia mungkin dinyah senarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Ogos, selepas Bursa Securities memutuskan untuk menolak permohonan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi melainkan rayuan terhadap penyahsenaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 23 Ogos 2023.
Syarikat itu dimasukkan ke dalam status PN17 pada 6 Jan 2022 dan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia digantung sejak Disember 2022 kerana gagal menyerahkan laporan tahunan 2022.
Kontroversi- Serba Dinamik didakwa
Penghujung Disember 2021 Serba Dinamik Holdings Bhd dan pengurusan eksekutif tertingginya didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atas tuduhan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd – ‘Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020’.
Mereka yang didakwa ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutifnya, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Azhan Azmi dan Naib Presiden Perakaunan dan Kewangannya, Muhammad Hafiz Othman.
Semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM3 juta
Serba Dinamik lobi PM Ismail Sabri
Dato’ Sri Ismail Sabri PM9 yang mempunyai hubungan baik dengan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah telah menyelamatkan Serba Dinamik.
Serba Dinamik melobi kepada Ismail Sabri sehingga ke Dubai sempena lawatan PM pada bulan Mac 2022. Mohd Abdul Karim Abdullah CEO Serba Dinamik menafikan lobi itu. Namun semua tahu hubungan Karim CEO dengan Ismail Sabri.
Lobi kepada PM dan peguam negara itu sebenarnya berjaya kerana pada 13 Mei 2022 Mahkamah melepas dan membebaskan Serba Dinamik dan pengurusan kanannya daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad susulan Serba Dinamik mengumumkan penyelesaian penuh pembayaran kompaun kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC). Jumlah bayaran sebanyak RM16 juta daripada Serba Dinamik, Syed Nazim, Mohd Abdul Karim, Azhan dan Hafiz masing-masing kompaun RM3 juta.
Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) serta empat tertuduh pula diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Farhan Read.
Hashley DPP mencadangkan OKS dan tertuduh dilepas serta dibebaskan selepas pembayaran kompaun dibuat mengikut arahan Pejabat Peguam Negara.
“Kita membuat permohonan itu untuk pendakwaan ditarik balik mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami tiada niat untuk meneruskan kes ini, maka pihak pendakwaan mencadangkan mereka dilepas dan dibebaskan, itu sahaja,” katanya.
Sebelum ini Hasley dilaporkan berkata, Pejabat Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan oleh syarikat itu dan empat tertuduh berkenaan pada 7 April 2022, selepas ia dihantar pada 17 Mac 2022.
Penjelasan Peguam Negara
Kontroversi sokongan Ismail Sabri itu tidak berakhir mudah sehingga Peguam Negara terpaksa memberi penjelasan mengenai keputusan membebaskan Serba Dinamik. Pemain industri mengecam cara mudah Serba Dinamik ini.
Keputusan untuk mengenakan kompaun RM16 juta ke atas syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dan empat pengurusan tertingginya terhadap pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad disifatkan sebagai satu keputusan yang sesuai dan wajar, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Beliau menegaskan, keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes terbabit.
Serba Dinamik fail rayuan atas perintah penggulungan
Pada 10 Januari 2023 Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dan tiga anak syarikatnya. Enam institusi kewangan terbabit ialah Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, AmBank Islamic Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Bagaimanapun sehari selepas itu Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan penggulungan syarikat itu dan tiga anak syarikatnya.
Menurut Serba Dinamik, BOD ingin memaklumkan bahawa syarikat itu telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan penangguhan pendengaran petisyen penggulungan itu di Mahkamah Tinggi dengan antara faktornya ialah syarikat itu telah dimaklumkan bahawa Syarikat Bersekutu kumpulan itu sedang melakukan persiapan untuk menjual kepentingannya atau aset di dalam Syarikat Bersekutu itu dengan anggaran hasil bersih US$700 juta. Syarikat itu berkata, hasil daripada penjualan saham SDIL boleh digunakan untuk membayar hutang kumpulan itu.
Serba Dinamik Gagal Bayar hutang
‘Jatuh ditimpa tangga’, masalah Serba Dinamik tidak habis disitu saja. Pada Julai 2023, Serba Dinamik Holdings Bhd telah ingkar dalam membuat pembayaran balik bagi tiga kemudahan pembiayaan berjumlah RM435.41 juta. Jumlah itu merangkumi RM400.77 juta bagi Pengaturan Pembiayaan Kelab oleh MBSB Bank Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (bank kelab); Pembiayaan-i Bertempoh Tawarruq RM34.41 juta oleh Affin Islamic Bank Bhd (Affin Bank) dan kira-kira RM228,568 bagi Kemudahan Bai’Inah oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).
Serba Dinamik berkata keingkaran bayaran balik faedah bagi kemudahan dengan SME Bank telah diselesaikan sepenuhnya setakat 1 Jun 2023, manakala bagi menangani keingkaran dengan bank kelab dan Affin Bank, pihak pelikuidasi SGDB telah menghubungi bank-bank tersebut untuk membincangkan penyelesaian yang bermanfaat untuk semua pihak terbabit.
Kumpulan itu berkata sekiranya berlaku keingkaran bayaran, Affin Bank merupakan pemberi gadaian pihak pertama membabitkan sebuah bangunan beralamat Menara Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.
“Bank kelab pula adalah pemberi gadaian pihak pertama bagi beberapa bidang tanah milik SGDB di Kota Tinggi, Johor.
Oleh itu dengan arahan Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) syarikat Serba Dinamik Holdings Berhad dinyah senarai di bursa tempatan pasti akan memudaratkan kumpulan itu. Maka Serba Dinamik membuat rayuan daripada dinyah senaraikan.
Persoalannya mampukah Serba Dinamik tanpa Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob? Apakah Ismail Sabri bekas PM9 akan menolong Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah CEO Serba Dinamik?