Susulan serangan Victor Chin Boon Long dalam kenyataan medianya terhadap pasukan AMLA PDRM yang kononnya digunakan untuk menekan kumpulannya, kini seperti dijangka bahagian itu bertindak balas muncul di media menjelaskan kedudukan siasatan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan mafia korporat Victor Chin Boon Long merupakan antara 10 individu yang ditahan dalam siasatan besar pengubahan wang haram menerusi Op Viking, dengan nilai keseluruhan aset yang dibeku dan disita menghampiri RM470 juta.
Operasi yang digerakkan oleh pasukan AMLA Bukit Aman itu dilihat sebagai antara tindakan paling agresif terhadap rangkaian jenayah kewangan melibatkan manipulasi korporat, pinjaman wang haram dan pelanggaran undang-undang pasaran modal.
Rangkaian kompleks sejak 2018: Dari pinjaman haram ke manipulasi saham
Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid, memaklumkan bahawa siasatan ini bermula daripada risikan sejak 2018 sebelum kertas siasatan rasmi dibuka pada Oktober 2025.
Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai menggunakan pelbagai modus operandi, antaranya:
- Mengeluarkan perjanjian pinjaman mengelirukan
- Mengugut peminjam
- Memanipulasi pasaran saham
- Menggunakan syarikat tersenarai dan syarikat persendirian sebagai kenderaan kewangan
Kes disiasat di bawah beberapa undang-undang utama termasuk:
- Seksyen 4(1) AMLA 2001
- Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
- Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007
- Akta Syarikat 2016
Aset hampir RM470 juta: Saham, akaun bank dan hartanah disita
Dalam operasi berskala besar ini, polis telah mengambil tindakan membeku dan menyita pelbagai aset bernilai tinggi, termasuk:
- 8 hartanah
- 32 kenderaan mewah
- Akaun CDS: RM323.6 juta
- Akaun dagangan: RM64.2 juta
- 404 akaun bank: RM85.6 juta
- Barangan mewah: jam tangan, barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang
Secara keseluruhan, nilai sitaan mencecah hampir setengah bilion ringgit, sekali gus menunjukkan skala operasi kewangan yang dipercayai dikendalikan sindiket tersebut.
10 ditahan, lebih 40 individu dirakam keterangan
Antara 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari 2026, seramai 10 individu ditahan — terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita — termasuk ketua mafia Victor Chin Boon Long yang ditahan di KLIA pada 29 Disember 2025.

Walaupun kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan masih aktif dan mereka boleh dipanggil semula pada bila-bila masa.
Setakat ini:
- Lebih 40 individu telah dirakam keterangan
- Siasatan masih diperluaskan termasuk ke atas pihak yang mempunyai kaitan tidak langsung
Dalam pengakuan kronologi Victor Chin beliau sendiri mendedahkan beberapa orang kanan kepercayaannya seperti Francis Leong Seng Wui dan wanita simpanannya Lim Siew Ping direman begitu juga Tan Sri Mohd Khairul Adib bekas KSU MOT yang mempunyai saham proksi terbesar NexG Bhd dan MMAG Holding ditahan di KLIA.
Serbuan premis & dakwaan manipulasi korporat
Bertindak lebih keras pada pertengahan Mac lalu, polis turut menjalankan serbuan ke atas beberapa premis yang dikaitkan dengan Victor Chin, termasuk rumah mewahnya di Sungai Long serta beberapa lokasi yang terlibat dalam aktiviti manipulasi korporat.

Dalam serbuan berasingan, pihak berkuasa turut merampas:
- Wang tunai termasuk mata wang asing
- Kenderaan mewah
- Aksesori bernilai tinggi
Perkembangan ini menguatkan naratif bahawa kes ini bukan sekadar pengubahan wang haram biasa, sebaliknya melibatkan rangkaian kewangan korporat berlapis dan sangat terancang.
Isu dakwaan rasuah RM10 juta: Tiada laporan rasmi diterima
Mengulas dakwaan bahawa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta untuk “menyelesaikan” isu berkaitan manipulasi korporat, Fazlisyam menegaskan bahawa:
Pihak polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
AMLA: Fokus buru keseluruhan rangkaian, bukan individu semata-mata
PDRM menegaskan siasatan tidak terhad kepada individu yang ditahan sahaja, sebaliknya menumpukan kepada keseluruhan ekosistem kewangan haram yang menyokong operasi sindiket.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat, khususnya berkaitan:
- Aset tersembunyi
- Aliran dana mencurigakan
- Struktur syarikat proksi
Ini bermakna lebih banyak rantaian yang ada kaitan Victor Chin Boon Long akan ditahan, akaun dibeku dan harta disita.
Kes Mafia Korporat
Kes Op Viking kini dilihat sebagai pintu masuk kepada pendedahan lebih luas mengenai:
- Penguasaan syarikat melalui dana haram
- Manipulasi pasaran saham secara tersusun
- Penggunaan rangkaian korporat sebagai “vehicle laundering”
Dengan nilai sitaan hampir RM470 juta dan jaringan siasatan yang masih berkembang, kes ini berpotensi menjadi antara skandal kewangan terbesar yang menguji integriti sistem korporat negara.
Sebelum ini tidak sedikit dilaporkan mengenai mafia korporat Victor Chin Boon Long. Hanya ada satu respon polis dibuat pada tahun 2023 kes rampas mafia korporat terhadap syarikat Caely / Classita Holding. Kes itu tidak pernah didakwa hingga kini sekalipun buktik forensik didedahkan.

Namun tiada satu pun tindakan SPRM lakukan hanya yang jelas kantoi penglibatan pegawai kanan SPRM seperti Wong Yun Fui bersama mafia korporat Victor Chin, Lim Kok Han dan Francis Leong Seng Wui. Wong Yun Fui dilaporkan beberapa kali kepada polis namun terus naik pangkat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan.
Victor Chin sebelum ini membuat pengakuan membayar rasuah RM10 juta kepada seorang ahli parlimen namun U-Turn menafikan bayaran itu sebagai bayaran rasuah tetapi hanya yuran perkhidmatan. Victor Chin sedar kesilapan pengakuan itu dan mengubahnya. Apakah SPRM akan bertindak atas pengakuan Victor Chin itu? SPRM setakat ini berkata hanya menunggu laporan rasmi mengenai aduan Victor Chin.
Sebagaimana didedahkan sebelum ini begitu banyak kejahatan dibuat oleh Victor Chin Boon Long dan sekutunya. Pengakuannya dalam beberapa kenyataan media, kronologi kekalahan perebutan syarikat NexG dan terbaru perbicaraan kes mahkamah melibatkan mafia korporat dalam Revenue Group dan Mjets International-MMAG pada April ini bakal mendedahkan lagi kejahatan Victor Chin.
Tahniah kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid yang berani bertindak. Jika tidak mafia korporat di bawah Victor Chin akan terus berkuasa di negara ini.
Tahniah juga kepada Bloomberg yang berani mendedahkan butiran mafia korporat Victor Chin dan sekutunya membangkitkan semula apa yang pernah didedahkan The Corporate Secret. Karma bagi orang jahat itu benar. Ramai pengasas syarikat teraniaya meluahkan rasa lega. Apa yang mereka hadapi disiasat, reman, pendakwaan di mahkamah, dimalukan dan diugut berbalas.
Apakah selepas ini? Pastikan skandal MBI-Teddy Teow yang senyap bakal meletup semula!
