
Ahli Perniagaan terkenal Kenneth Vun Yun Lun atau Datuk Kenneth Vun kini kembali dalam dunia korporat Malaysia selepas sekian lama berada di belakang tabir.
XOX Berhad dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia mengumumkan pelantikan Datuk Kenneth Vun sebagai Pengarah Urusan baharu syarikat, berkuat kuasa serta-merta.
Kenneth Vun ahli korporat yang banyak menguasai syarikat senarai awam di negara ini memilih muncul kembali dalam syarikat XOX Berhad sebagai langkah memperkukuh kedudukan XOX Berhad dalam industri telekomunikasi dan perkhidmatan digital, selaras dengan strategi syarikat untuk memperluaskan pengaruhnya dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.
XOX Berhad menegaskan bahawa pelantikan Datuk Kenneth Vun adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memacu pertumbuhan dan inovasi melalui kepimpinan yang berwibawa. Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang teknologi, kewangan, pembangunan hartanah dan industri makanan dan minuman (F&B), Datuk Kenneth diyakini mampu membawa XOX Berhad ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau sebelum ini telah mengasaskan syarikat teknologi pertamanya di Sabah sebelum mengembangkan operasinya ke Semenanjung Malaysia, Singapura, Hong Kong dan China. Antara pencapaian pentingnya termasuk menjadi Top Nominee Ernst & Young Entrepreneur of the Year (2004), menerima Anugerah TOYM Outstanding Young Malaysian (2006) dan APEA Outstanding Entrepreneur (2007). Beliau juga telah diiktiraf dalam Deloitte Technology Fast 500 Asia Pacific (2005) dan pernah disenaraikan sebagai PIKOM Malaysia Key Industry Leader (2006).
Pelantikan Datuk Kenneth Vun dibuat ketika XOX Berhad sedang mengalami fasa transformasi, didorong oleh perkembangan terkini dalam struktur pemilikan syarikat.
Pemilikan saham VCAP Global Inc
Pada 25 Februari 2025, VCAP Global Inc berpangkalan di Kepulauan Virgin British yang dikuasai oleh Datuk Kenneth Vun telah memperoleh sebanyak 15 juta saham biasa syarikat, mewakili 8.09% kepentingan langsung dalam XOX Berhad. Ini mengukuhkan kedudukan Datuk Kenneth dalam syarikat XOX Berhad.

Sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan digital utama di Malaysia, XOX Berhad terus komited dalam membangunkan penyelesaian mudah alih dan digital inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna serta perniagaan. Dengan kepimpinan baharu dan suntikan pelaburan yang signifikan, syarikat ini kini berada pada landasan yang kukuh untuk memperluaskan jangkauan pasarannya dan mengukuhkan kedudukannya dalam industri.
XOX Berhad pemilik Perak FC Sdn Bhd

Pada ogos 2022, XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan Perak FC Sdn Bhd. Dengan penyelesaian itu, bermakna Perak FC merupakan anak syarikat milik penuh XOX Bhd. Menurut kenyataan XOX Berhad ketika itu pengambilalihan itu selaras dengan strategi XOX Pro Sport, untuk menumpukan fokus sepenuhnya pada pemasaran dan pengurusan sukan.
XOX Berhad sebelum ini dipengerusikan Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi namun kini dipengerusikan oleh YM Toh Muda Dato Rizal Ashram Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli anak bekas Menteri Besar Perak diibantu orang kuat Kenneth Vun Roy Ho Yew Kee dan beberapa lagi individu sebagai Lembaga Pengarah Syarikat.. Cabaran baru yang akan dipikul oleh Kenneth Vun ialah menyelesaikan isu-isu Perak FC yang kini bergelut dengan prestasi dan kewangan.

Apapun kemunculan semua Datuk Kenneth Vun dalam dunia korporat pasti merancakkan lagi dunia korporat Malaysia dan pasaran saham di negara ini.
Prestasi Harga Saham XOX Berhad:
- Harga Semasa: RM0.545 (peningkatan 14.74% dalam 24 jam terakhir)
- Julat Harian: RM0.46 – RM0.57
- Paras Tertinggi 52 Minggu: RM0.57
- Paras Terendah 52 Minggu: RM0.15
- Modal Pasaran: RM99.75 juta
Berdasarkan indikator teknikal, saham XOX Berhad menunjukkan isyarat ‘Beli Kuat’. Indikator seperti RSI, MACD, dan purata pergerakan 50-hari dan 200-hari menunjukkan momentum positif dalam pergerakan harga saham.
Kenaikan harga saham ada kaitan dengan pelantikan Datuk Kenneth Vun sebagai Pengarah Urusan Baharu selain pembelian kepentingan VCAP Global Inc 8.09% dalam XOX Berhad.
