Perintah dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Aman Palestin tidak boleh dicabar melalui permohonan kebenaran semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, berhujah ia adalah kerana agensi itu mempunyai kuasa budi bicara untuk menjalankan siasatan jenayah.
Ahmad Hanir berkata, kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah satu mekanisme siasatan diperuntukkan mengikut undang-undang dan agensi penguatkuasaan diberi kuasa mengeluarkan perintah membekukan harta seseorang apabila memenuhi beberapa syarat.
Katanya, peruntukan berkenaan adalah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
“Pengeluaran perintah pembekuan hanya dibuat apabila agensi penguatkuasaan memulakan siasatan terhadap seseorang dan ada alasan munasabah untuk mengesyaki beliau melakukan atau akan melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau harta itu hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang
“Mahkamah berulang kali mengekalkan bahawa fungsi atau kuasa berhubung proses siasatan jenayah tidak boleh dipertikaikan melalui semakan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berhujah melalui bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Aman Palestin untuk mencabar tindakan SPRM membekukan 11 akaun banknya.
Bagaimanapun, peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berhujah pihaknya perlu diberi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman kerana permohonan itu mempunyai merit.
Peguam itu berkata, keengganan SPRM membatalkan atau mengubah perintah ‘pembekuan salah’ itu adalah tidak munasabah dan tidak mengikut peruntukan Seksyen 44 (1) Akta AMLATFPUAA.
Katanya, pembekuan akaun bank itu menyebabkan segala kutipan dana bantuan kepada mangsa kekejaman Israel di Gaza, kini terhenti dan tidak dapat dilakukan lagi.
“Ini menjadi lebih genting lagi apabila Program Bantuan Musim Sejuk yang dianggarkan menelan RM10 juta, tidak dapat disalurkan kepada mangsa di Gaza,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan pada 21 Mac ini bagi keputusan.
Aman Palestin memfailkan permohonan kebenaran itu pada 31 Januari lalu, dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; dua pegawai SPRM, Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff; SPRM; dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.
Dalam permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 terhadap 11 akaun bank miliknya.
Ia turut memohon SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.
Pengerusi dan CEO Aman Palestin didakwa pecah amanah
Februari 2024 susulan dari pembekuan akaun akhirnya Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58 dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) Awang Suffian Awang Piut, 52 dan seorang lagi kroni Zaik Khairudin Mohd Ali, 49 didakwa di Mahkamah Sesyen atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM39.5 juta.
Bagi kesalahan pecah amanah, Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing didakwa atas 52 pertuduhan sebagai Pengarah Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang RM20,946,498.80.
Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan lain iaitu dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang RM39,150,000 kepada syarikat sama. Ia bagi pembelian emas sedangkan harga pembeliannya lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian oleh kedua-dua tertuduh.
Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing berdepan 19 pertuduhan lagi sebagai pengarah syarikat terbabit menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM12,833,772.16. Ia sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyata Vellfire bagi pihak Samudra Champa.
Sementara itu, Khairudin sebagai pengarah syarikat proksi didakwa atas tiga tuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.
Dengan bukti-bukti ke akaun Pengerusi, CEO dan syarikat proksi Khairudin jelas wang Aman Palestin itu diseleweng untuk tujuan peribadi. Sudah tentu membuka pembekuan akaun AMAN PALESTIN sebagai derma palestin itu sebagai alasan hakikatnya semua akaun dikutip itu diseleweng tujuan kepentingan sendiri