Penghujung November lalu FGV mengumumkan keuntungan bersih FGV Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 susut kepada RM31.98 juta daripada RM241.67 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil turun kepada RM4.91 bilion daripada RM6.18 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata hasil yang menurun didorong oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang direalisasikan yang lebih rendah pada suku semasa, manakala keuntungan bersih yang lebih rendah disebabkan kemerosotan keuntungan dalam sektor perladangan.
Bagaimanapun, FGV berkata keuntungan yang lebih rendah itu sebahagiannya dikurangkan oleh peningkatan suku semasa yang dicatatkan dalam sektor logistik dan lain-lain, dan kerugian yang lebih rendah dicatatkan dalam sektor gula.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2023, keuntungan bersih FGV susut kepada RM39.18 juta daripada RM984.93 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil turun kepada RM13.99 bilion daripada RM19.46 bilion sebelum ini.
FGV berkata keuntungan yang rendah bagi tempoh sembilan bulan tahun ini disebabkan terutamanya oleh purata harga MSM yang direalisasikan yang rendah sebanyak RM3,948 satu tan berbanding RM4,989 satu tan yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.
“Ini ditambah lagi dengan kos pengeluaran MSM mengikut harga kilang yang lebih tinggi sebanyak 35 peratus,” katanya.
FGV berkata sektor perladangan terus mengalami penurunan margin dalam perniagaan hiliran dan bajanya pada sembilan bulan pertama tahun ini.
“Bahagian keuntungan daripada usaha sama juga merosot daripada RM45.18 juta kepada RM3.0 juta dalam tempoh kewangan semasa.
“Terdapat juga kerugian rosot nilai yang lebih tinggi bagi aset bukan kewangan berjumlah RM58.94 juta, terutamanya disebabkan oleh kemerosotan nilai aset perladangan Indonesia, berbanding RM13.87 juta dalam tempoh kewangan sebelumnya,” katanya.
FGV berkata dalam landskap pasaran semasa, harga MSM berhadapan cabaran dengan kejatuhan berikutan stok minyak sayuran yang berlebihan di negara pengguna utama serta permintaan yang lemah.
“Bagaimanapun, harga MSM diunjurkan lebih baik pada suku keempat iaitu antara RM3,800 dan RM4,000 satu tan.
“Trajektori positif ini disokong oleh kesan jangkaan El Nino, permintaan yang meningkat di India didorong oleh aktiviti penyimpanan semula stok Diwali dan industri biodiesel sawit yang berkembang, semuanya menyumbang kepada persekitaran harga yang kukuh,” katanya.
Kenaikan harga gula
Sementara itu, FGV berkata sektor gula terus berdepan cabaran berpunca daripada kenaikan harga gula mentah global, peningkatan kos pengangkutan dan gas asli serta ringgit yang semakin lemah di tengah-tengah ketegangan geopolitik.
“Sektor logistik kekal teguh dalam komitmennya terhadap peningkatan prestasi melalui inisiatif strategik, termasuk pengembangan kapasiti, pengoptimuman aset, dan penggunaan teknologi canggih,” katanya.
Kerugian suku kedua
FGV Holdings Bhd sebelum ini bergelut dengan kerugian apabila merekodkan kerugian bersih sebanyak RM12.9 juta dalam suku kedua bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2023, berbanding keuntungan bersih RM374.02 juta dalam tempoh sama 2022, terutamanya akibat keuntungan rendah yang diraih oleh sektor perladangan.
Sebahagian daripada penyusutan itu bagaimanapun diimbangi oleh peningkatan sektor logistik dan lain serta kerugian dialami sektor gula dalam suku semasa. Tempoh separuh pertama itu menyaksikan FGV Holdings mencatat kerugian bersih sebanyak RM805,000 berbanding keuntungan bersih RM743.26 juta. Namun FGV bangkit semula dengan harga MSM diunjurkan lebih baik pada suku mendatang.
Isu Pengurusan FGV
Nampaknya Datuk Nazrul Mansor bekas CEO FELCRA kesayangan Azmin Ali Menteri Kanan PN dulu kini bergelut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV memulihkan FGV . Sekalipun kerajaan melantik Tan Sri Rastam Mohd Isa sebagai Pengerusi FGV menggantikan Dato’ Dzulkifli Wahab nampaknya FGV berhadapan cabaran besar di depan. Perubahan lembaga pengarah FGV juga tidak banyak membantu.
BOD dan Senior Management FGV
Rasuah Palm Kernel Shell
Isunya adalah Senior Managemet FGV yang tidak banyak dirombak dan menggunakan pegawai sama. Hanya MOHD SARIAN – GROUP DIVISION DIRECTOR ditukar selepas SPRM menyiasat aduan skandal penjualan Palm Kernel Shell (PKS) kepada syarikat Jepun yang menguntungkan syarikat orang tengah – syarikat kroni SOUTH ASIA INTERNATIONAL DISTRIBUTION SDN.BHD (SAID) berbanding FGV.
Isu PKS, FGV pernah dilaporkan kontroversi tahun 2021. Apabila Ahli Lembaga Pengarah FGV – Pengarah Bahagian Perladangan Kumpulan FGV ketika itu mendapat keuntungan berjuta secara diam-diam apabila membenarkan Syarikat SOUTH ASIA INTERNATIONAL DISTRIBUTION SDN.BHD (SAID) menggunakan nama FGV mengeksport Palm Kernel Shell (PKS)-Tempurung Kelapa Sawit ke Jepun. Felda Johore Bulkers (FJB) bersekongkol dengan Syarikat SAID menipu FGV.
Jika sebelum ini FGV Palm Industries menjual di pasaran dengan harga RM 395 pertan namun kini menjual kepada anak syarikatnya sendiri FGV Johor Bulkers dengan harga RM290 pertan. Kemudian FGV Johor Bulkers pula menjual kepada syarikat kroni SOUTH ASIA INTERNATIONAL DISTRIBUTION SDN.BHD (SAID) dengan harga bawah pasaran iaitu RM 330 pertan. SAID pula menjual kepada syarikat Jepun dengan harga RM580 pertan. FGV memang nak beri untung besar kepada syarikat Jepun?
Sepatutnya FGV jika mahu untung terus menjual kepada syarikat Jepun Sumitomo Corporation Jepun bukan menggunakan orang tengah.
BACA – FGV rugi, FJB jual Palm Kernel Shell harga bawah pasaran, Syarikat kroni SAID untung RM25 juta
Isu pegangan saham FGV
Jun lalu FGV Holdings Bhd (FGV) berdepan dengan risiko sahamnya digantung memandangkan sebaran pegangan saham awamnya hanya 13.1 peratus kurang daripada pegangan awam minimum 25 peratus, justeru, melanggar peraturan penyenaraian bursa. Bursa Malaysia telah menetapkan tarikh akhir 2 September 2023 untuk FGV menyelesaikan sebaran pegangan saham awamnya
Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perbincangan bersama Bursa Malaysia Bhd sedang dijalankan dan keputusan berkenaan isu tersebut dijangka diumumkan dalam masa beberapa bulan lagi.
“Kita sedang mempertimbangkan sama ada menyahsenaraikan FGV daripada Papan Utama Bursa Malaysia ataupun mengurangkan pegangan kepentingan oleh Felda,” katanya
Bursa Malaysia telah memberikan lanjutan masa kepada FGV untuk mematuhi syarat pegangan saham awam selama enam bulan lagi dari 3 Sept, 2023 sehingga tamat tempoh lanjutan pada 2 Mac 2024 selepas mengambil mengambil kira semua keadaan syarikat tersebut.
Situasi tersebut berlaku selepas Felda Holdings melancarkan tawaran am mandatori untuk FGV pada 2020 dan berakhir dengan pemilikan lebih 75 peratus daripada pegangan syarikat itu.
BACA – Pengurusan FGV bermasalah: Saham FGV berisiko digantung urus niaga
Pengerusi Felda dan FGV sudah bertukar baru namun pengurusan FGV sukar berubah maka siapa menjadi CEO FGV Holdings Berhad pun akan berhadapan masalah besar.
Datuk Nazrul Izam Mansor sudah memikul tanggungjawab CEO FGV sejak 2021 namun jalan keluar untuk FGV Holdings Berhad masih perlahan. Mgkin menukar CEO lebih berpengalaman adalah jalannya.