PUTRAJAYA — Penahanan Pengerusi IJM Corporation Berhad, Tan Sri Krishnan Tan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bukan sekadar berita siasatan biasa. Ia berpotensi menjadi titik mula kepada krisis keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi sebuah konglomerat yang selama ini dianggap stabil di mata pelabur.
Krishnan Tan, (74) ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beberapa premis termasuk kediamannya diserbu SPRM. Namun dalam perkembangan yang mengejutkan banyak pihak, beliau tidak direman dan dilepaskan selepas kira-kira 24 jam atas alasan mengalami masalah kesihatan.
Walaupun pelepasan itu sah dari sudut prosedur, persoalan yang mula berlegar dalam kalangan pemerhati pasaran adalah sama ada faktor kesihatan kini menjadi perisai baharu tokoh korporat berprofil tinggi apabila berdepan tindakan penguatkuasaan.
Siasatan Bernilai RM2.5 Bilion
Menurut sumber, siasatan tertumpu kepada beberapa perkara serius termasuk tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan yang kompleks serta pemilikan aset di luar negara dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.5 bilion bersama proksinya Seow Lun Hoo @ Seow Wah Chong pengasas Syarikat pelaburan Newfields Group.

Angka sebesar ini jarang dikaitkan dengan seorang pengerusi syarikat tersenarai, sekali gus menjadikan kes berkenaan antara yang paling mendapat perhatian dalam landskap korporat tempatan.
Bahagian Operasi Khas SPRM dilaporkan telah memperluaskan siasatan dengan melakukan penggeledahan di beberapa lokasi baharu, termasuk pejabat Newfields Group dan sebuah bank pelaburan serta kediaman suspek. Siasatan awal dipercayai turut menyentuh peranan bank pelaburan yang dilantik bagi mengurus proses tawaran pengambilalihan berkaitan IJM, satu petunjuk bahawa penyiasatan mungkin melibatkan lapisan strategik korporat dan bukan sekadar transaksi terpencil.
Dalam masa yang sama, SPRM telah membekukan 70 akaun bank melibatkan akaun peribadi dan syarikat berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta. Ini termasuk lebih 10 orangg pegawai pengurusan kanan IJM yang terkesan dengan pembekuan itu. SPRM juga sedang giat menjejaki aset lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram. Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan, termasuk isteri kepada pengerusi tersebut.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan itu dan menjelaskan bahawa fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Beliau turut mengesahkan bahawa suspek dilepaskan selepas keterangan diambil berikutan keadaan kesihatannya.
Apa yang lebih besar daripada soal penahanan sebenarnya ialah implikasi terhadap reputasi syarikat. Dalam dunia korporat moden, persepsi sering kali membawa kesan sama besar dengan sabitan mahkamah. Apabila seorang pengerusi disiasat dalam kes bernilai berbilion ringgit, risiko reputasi kepada syarikat menjadi hampir tidak dapat dielakkan.
Lembaga pengarah kini berdepan dilema yang sukar — sama ada terus mempertahankan kepimpinan sedia ada atau mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan pemegang saham. Sejarah pasaran menunjukkan bahawa pelabur amat sensitif terhadap ketidakpastian, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu paling berkuasa dalam struktur korporat.
Tan Sri Krishnan Tan mungkin belum didakwa, direman dan sepatutnya beliau meletak jawatan sebagai pengerusi bagi mengelakkan IJM Corp terus terjejas dengan bayang-bayang pengubahan wang haram RM2.5 bilion.
Kejatuhan saham IJM
Harga saham IJM Corporation Berhad dilihat berada di bawah tekanan hari ini susulan penahanan pengerusinya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap risiko tadbir urus dan reputasi syarikat. Pada penutupan dagangan, saham IJM merosot kepada sekitar RM2.73, turun kira-kira 7 sen atau 2.5%, mencerminkan reaksi pasaran yang lazim apabila tokoh tertinggi sesebuah syarikat disiasat pihak berkuasa.

Walaupun kejatuhan tersebut tidak boleh disandarkan kepada satu faktor semata-mata, sentimen negatif jelas dipengaruhi oleh ketidakpastian berkaitan hala tuju kepimpinan dan potensi implikasi siasatan terhadap operasi serta keyakinan institusi kewangan. Dalam persekitaran pasaran yang sensitif terhadap isu integriti korporat, sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes ini berkemungkinan terus mempengaruhi pergerakan saham IJM dalam jangka terdekat, dengan pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
