Sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menyerbu dua firma guaman yang terlibat dalam perjanjian rahsia bagi penyelesaian berbilion dolar yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) nampak akan muncul sesuatu yang bakal mengejutkan rakyat Malaysia.
BACA – Bon 1MDB USD6.5 bilion: SPRM saman firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership & Chetan Jethwani
Ada sesuatu yang tidak kena dengan urusan penyelesaian berbilion dolar 1MDB itu. Rosli Dahlan daripada Firma Rosli Dahalan Sarvana Partnership (RDS Partnership) peguam peribadi Muhyiddin dilantik sebagai peguam bagi pihak kerajaan MOF dan 1MDB. Muhyiddin ketika itu PM8 telah melantik Rosli Dahlan.
Amat janggal sebuah projek kerajaan mendapatkan khidmat peguam swasta yang sepatutnya dipikul oleh Pejabat Peguam Negara kerana melibatkan dokumen rahsia kerajaan. Tetapi Rosli Dahlan menguruskan semua dokumen rahsia itu.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki Rosli Dahlan dan firmanya terlibat dalam salahguna kuasa dalam menguruskan penyelesaian 1MDB ini. Ia bukan kerana Rosli Dahlan Peguam Peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagi firma Chetan Jetwani & Company yang mewakili gergasi perbankan Amerika Syarikat Goldman Sachs tindakannya mencabar SPRM berhubung penyerahan dokumen dan butiran akaun perbankan yang dikaitkan dengan 1MDB.
SPRM menyerbu pejabat kedua-dua firma lebih dua minggu lalu, tetapi tuntutan penyeraha dokumen-dokumen berkaitan penyelesaian mengenai 1MDB dan Goldman Sachs ditentang oleh kedua firma itu menggunakan alasan kerahsiaan pelanggan.
SPRM memohon perintah mahkamah bagi kedua-dua firma itu menyerahkan dokumen berkaitan.
Keengganan itu menyebabkan SPRM terpaksa merujukkan perkara tersebut kepada mahkamah. Pendengaran hujah kedua-dua firma akan dilakukan awal November ini.
Sebenarnya SPRM tahu proses serbuan untuk firma guaman yang perlu ke mahkamah namun serbuan awal itu menimbulkan tanda tanya urusan yang dilakukan oleh Roslan Dahlan peguam Muhyiddin itu.
Apa sebenarnya kandungan perjanjian penyelesaian dikendalikan oleh Tan Sri Muhyiddin dengan institusi perbankan Amerika Goldman Sachs dan Kumpulan AmBank?
Mengapa Tan Sri Muhyiddin Yaasin mengumumkan dua bulan lebih awal penyelesaian dengan Goldman Sachs menandatangani perjanjian pendakwaan tertunda dengan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) pada Oktober 2020 – sebagai pengakuan bersalah atas konspirasi yang melanggar Akta Amalan Rasuah Asing melibatkan 1MDB.
DOJ mengumumkan bahawa Goldman dan anak syarikatnya di Malaysia “telah mengaku bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing berkaitan dengan satu skim untuk membayar lebih AS$1 bilion kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi”. Goldman dikenakan denda AS$2.9 bilion oleh DOJ.
Banyak keterangan-keterangan yang difailkan di mahkamah mengandungi maklumat yang tidak didedahkan sebelum ini mengenai penyelesaian kerajaan Malaysia dengan AmBank, yang merupakan institusi kewangan tempatan utama yang mengendalikan semua perkara berkaitan 1MDB.
Bank Negara Malaysia sebelum ini memberi amaran kepada Tan Sri Muhyiddin mulai Mac 2020, bahawa AmBank yang merupakan syarikat awam tersenarai tidak boleh didenda lebih daripada RM600 juta ( AS$125.9 juta) “kerana lebih daripada jumlah tersebut boleh menyebabkan keruntuhan sistem perbankan”.
Rosli Dahlan peguam Muhyiddin merupakan ketua perunding sektor swasta kerajaan, telah mengadakan perbincangan langsung dengan pihak pengurusan AmBank dan berjaya mendapatkan bayaran denda berjumlah RM2.8 bilion sebagai penyelesaian pada Februari 2021 kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Pada 26 Februari 2021 Kerajaan Muhyiddin mengumumkan AMMB Holdings Berhad setuju untuk membayar RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tindakan dan tuntutan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank dengan 1MDB.
RM53.7 juta penalti AMMB Holdings Berhad
Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian terbaru itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, melibatkan semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung.
“Ini susulan rundingan kerajaan yang berjaya memeterai penyelesaian RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion) dengan Goldman Sachs pada Julai 2020.
Kementerian Kewangan berkata, sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian di peringkat global, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengarahkan AmInvestment Bank Berhad membuat langkah-langkah pembetulan, termasuk mewujudkan proses dan sistem untuk mengukuhkan proses due dilligence mereka.
Menurut MOF jumlah penyelesaian itu tidak termasuk penalti RM53.7 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada AmBank Group.
Rundingan RDS – Goldman Sachs tidak menguntungkan Malaysia
Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengisytiharkan secara terbuka bahawa penyelesaian Kuala Lumpur dengan Goldman Sachs, yang diselesaikan dua bulan sebelum perjanjian DOJ-Goldman, tidak dirundingkan dengan baik.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia dalam keadaan tidak menguntungkan akibat tindakan Goldman memainkan peranan utama dalam mengaturkan bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013.
Perbalahan antara kerajaan PM Anwar Ibrahim dengan Goldman Sachs bukan lagi rahsia umum.
PM Anwar mahu saman Goldman Sachs
Pada ogos lalu PM Anwar membayangkan Malaysia mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs atas pembabitannya dalam skandal rasuah berbilion dolar membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut PM Anwar, Malaysia sedang meneliti semula perjanjian penyelesaian itu kerana jumlah yang dipersetujui terlalu kecil. Beliau tidak menolak melaksanakan prosiding semula secara undang-undang atau melakukan semula perundingan.
Sebelum ini, bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu mencapai penyelesaian dengan Malaysia pada 2020 selepas bersetuju membayar AS$2.5 bilion (RM11.6 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion), manakala kerajaan menggugurkan semua pertuduhan jenayah terhadap Goldman.
Terdapat kecurigaan penyelesaian Ogos 2020 itu yang mungkin melibatkan salahguna kuasa di kalangan pegawai kerajaan dan juga Peguam luar yang dilantik oleh Muhyiddin. Dalam kebiasaan perjanjian besar antara kerajaan Peguam Negaralah pegawai memainkan peranan bukan ‘konsultan’. Rosli Dahlan bukan dari firma Rosli Dahalan Sarvana Partnership tidak sepatutnya dilantik menjadi peguam bagi pihak kerajaan.
Goldman Sachs saman Kerajaan Malaysia
Bagaimanapun 12 Oktober lalu Kumpulan Goldman Sachs memfailkan saman terhadap Malaysia terlebih dahulu di sebuah mahkamah United Kingdom (UK) di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA).
” Kami memfailkan saman timbang tara ke atas Kerajaan Malaysia kerana melanggar obligasinya untuk mengkredit aset dengan sewajarnya terhadap jaminan diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami serta bagi mendapatkan semula aset lain,” kata jurucakap bank itu kepada Reuters.
Bagaimanapuan pada hari yang sama Pengerusi pasukan petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyelar tindakan Goldman Sachs memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada melakukan pembayaran interim berjumlah AS$250 juta.
Johari beberapa perkara penting mengenai perjanjian penyelesaian Goldman Sachs perlu diberitahu kepada rakyat
Katanya, Perjanjian Penyelesaian Goldman Sachs ditandatangani pada 18 Ogos 2020 dan mempunyai dua bahagian iaitu pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh 10 hari selepas menandatangani perjanjian penyelesaian dan Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs dalam tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian.
“Di bawah Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs, sekiranya kerajaan tidak menerima semula AS$500 juta pada 18 Ogos 2022 (dua tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian), Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$250 juta sebagai bayaran interim kepada kerajaan Malaysia.
“Pada 18 Ogos 2022, kerajaan Malaysia tidak memperoleh semula AS$500 juta, oleh itu kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta. Perkara itu bagaimanapun dipertikaikan oleh Goldman Sachs,” katanya.
Perjanjian penyelesaian berkenaan membenarkan kedua-dua pihak untuk terbabit dalam perbincangan bagi tempoh tiga bulan sekiranya timbul pertikaian berkaitan dengan perjanjian penyelesaian.
Lanjutan masa yang berasingan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Goldman Sachs apabila tarikh akhir ditetapkan awal 18 Ogos 2022 telah tamat tempoh dalam usaha menyelesaikan pertikaian itu secara baik.
Empat lanjutan tempoh yang diberikan adalah seperti berikut:
(a) Goldman Sachs meminta lanjutan masa selama tiga bulan pada 8 September 2022, dan lanjutan tempoh ini tamat tempoh pada 8 Disember 2022 (Lanjutan masa pertama);
(b) Pada 8 Disember 2022, lanjutan masa telah diberikan dan ia tamat tempoh pada 8 Februari 2023
(Lanjutan masa kedua);
(c) Pada 8 Feb 2023, lanjutan masa telah diberikan sekali lagi, dan ia tamat tempoh pada 8 Mei 2023 (Lanjutan tempoh ketiga); dan
(d) Lanjutan masa terakhir diberikan pada 8 Ogos 2023 dan tamat tempoh ditetapkan pada 8 November 2023
(Lanjutan masa keempat).
Johari berkata, jika penyelesaian tidak dicapai antara pihak terlibat pada tarikh akhir, 9 November 2023, kerajaan boleh memulakan prosiding timbang tara berhubung pembayaran interim sebanyak AS$250 juta.
Namun Goldman Sachs menafikan kenyataan Kerajaan Malaysia dan menegaskan bahawa jumlah penyelesaian yang diterima kerajaan Malaysia daripada AmBank dianggap sebagai sebahagian daripada pemulihan aset.
Bagaimana bayaran AmBank dianggap penyelesaian pemulihan aset? Sekali lagi menimbulkan syak apa perjanjian dibuat peguam Rosli Dahlan sebagai peguam pemulihan aset ini?
Langkah SPRM melakukan serbuan ke pejabat RDS Partnership dan Chetan Jetwani & Company di bawah “Ops Canai” pada 6 Oktober adalah Langkah yang tepat memandangkan kedua-dua peguam itu tidak bekerjasama dengan siasatan SPRM.
Pemfailan mahkamah SPRM menyatakan bahawa para pegawainya sedang berusaha untuk mendapatkan penyerahan dokumen berkaitan dengan perjanjian penyelesaian dan sedang menyiasat dakwaan adanya perbuatan subahat melibatkan para peguam dengan Goldman Sachs untuk menurunkan jumlah penyelesaian berkaitan 1MDB.
Dokumen yang dicari SPRM termasuk surat pelantikan oleh Goldman dan kerajaan Malaysia dan semua surat-menyurat serta minit mesyuarat berkaitan rundingan penyelesaian.
Pihak penyiasat juga menuntut kedua-dua firma undang-undang supaya menyerahkan dokumen, termasuk butiran akaun bank, untuk membantu siasatan mereka terhadap dakwaan aliran wang rasuah dan aktiviti yang dipanggil “layering”.
Tindakan Peguam Chetan Lachman Jethwani melalui firmanya Chetan Jetwani & Co bagi pihak Goldman Sachs, mencabar tindakan mahkamah yang diambil oleh SPRM itu wajar dicabar.
Roslan Dahlan, RDS Partnership yang memfailkan kepada mahkamah “dakwaan bahawa RDS memanipulasi rundingan adalah suatu yang remeh dan tanpa asas.”
Namun hakikatnya Rosli Dahlan mengetuai perundingan itu bersama pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, 1MDB, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti dan Pusat Jenayah Anti-Kewangan Kebangsaan.
Rosli Dahlan menggunakan kedudukannya rapat dengan Munyiddin untuk ‘kawtim’ dan mengunci mulut pegawai yang terlibat bersamanya.
Menjadi persoalan jika perundingan ini bersama para pegawai MOF, Peguam Negara dan 1MDB Bagaimana dokumen terperingkat Rahsia Kerajaan ini disimpan sehingga SPRM perlu menyiasat firma RDS Partnership dan Chetan Jetwani & Company. Apakah terdapat perjanjian dan ‘kawtim’ lain dimainkan oleh peguam-peguam ini?
Tangkap dan reman Rosli Dahlan pasti jawapannya akan ditemui!