
Jentayu Sustainables Bhd mengumumkan bahawa kumpulan itu telah membatalkan pengambilalihan aset hidro di Sabah, lebih tiga tahun selepas perjanjian tersebut dimeterai pada September 2021.
Menurut pemfailan bursa oleh Jentayu Sustainables, perjanjian untuk pengambilalihan Senja Optima Sdn Bhd, Telekosang Hydro One Sdn Bhd dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd telah dibatalkan secara bersama pada hari Isnin.

Telekosang Hydro One dan Telekosang Hydro Two memiliki serta mengendalikan projek loji jana kuasa hidro Telekosang berkapasiti 40MW. Sementara itu, Senja Optima memiliki 70% kepentingan dalam kedua-dua syarikat tersebut, manakala baki 30% dimiliki oleh Inno Hydropower (T) Sdn Bhd.

Jentayu Sustainables menjelaskan bahawa pada Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menolak permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan lanjutan tempoh bagi menyelesaikan perjanjian tersebut.
Berikutan keputusan itu, kumpulan tersebut mengadakan perbincangan dengan penjual dan kedua-dua pihak memutuskan untuk membatalkan perjanjian secara bersama.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira kos tambahan yang mungkin timbul untuk penyerahan baharu kepada SC, jangkaan kelewatan serta ketidakpastian mengenai garis masa bagi menyelesaikan pengambilalihan aset hidro yang dicadangkan,” jelasnya.
Di bawah perjanjian itu, Jentayu Sustainables sepatutnya memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Senja Optima daripada Kasa Tuah Sdn Bhd dan Borneo Sustainable Sdn Bhd dengan harga RM44.6 juta.
Selain itu, kumpulan itu juga merancang untuk membeli keseluruhan saham keutamaan boleh tebus dalam Telekosang One dan Telekosang Two dengan nilai RM93.6 juta serta keseluruhan bon junior dalam Telekosang One daripada Jentayu Capital Sdn Bhd pada harga RM38.1 juta.
Daripada jumlah pertimbangan tunai dan saham bernilai RM173.25 juta yang terlibat dalam perjanjian tersebut, RM160.3 juta sepatutnya dilunaskan melalui penerbitan saham baharu dalam kumpulan. Namun semua itu tidak berlaku dan Jentayu terpaksa mencari pembeli baru sehinggalah tarikh tamat yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti.
Perjanjian ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan kerana penjual adalah milik Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin, dan isterinya, Datin Nurhaida Abu Sahid, yang juga anak kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju dan bekas pemegang saham utama Jentayu Sustainables, Tan Sri Abu Sahid Mohamed atau Abu Juling. Tan Sri Abu Juling pada tahun 2020 memindahkan semua sahamnya kepada anaknya Nurhaida Abu Sahid menjadi pemegang saham terbesar Jentayu.

Pengambilalihan aset hidro yang kini terbatal itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk menjadi syarikat tenaga boleh diperbaharui
Seiring dengan rancangan pembelian ekuiti aset hidro ini, Jentayu Sustainables juga mencadangkan pengambilalihan Jentayu Solar Sdn Bhd, yang memiliki dan mengendalikan loji janakuasa solar berkapasiti 5.99MW di Pokok Sena, Kedah.
Saham Jentayu Sustainables ditutup satu sen lebih rendah atau turun 2.41% kepada 40.5 sen pada hari Isnin, dengan permodalan pasaran sebanyak RM178.25 juta.