Pharmaniaga Bhd telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya, dengan peruntukan RM552 juta untuk “saham vaksin Covid-19 yang bergerak perlahan” sehingga mendorong syarikat bermasalah kewangan itu berada di bawah kategori PN17.
Perolehan merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin Covid-19.
“Bagaimanapun, kumpulan telah mencapai pertumbuhan menggalakkan dalam perniagaan konsesi apabila produk tambahan telah ditambah ke dalam senarai konsesi yang berkuat kuasa mulai separuh kedua 2021.
“Selain itu, terdapat juga sumbangan yang lebih baik daripada sektor swasta sebanyak kira-kira 50 peratus hasil daripada usaha jualan agresif yang ditambah dengan produk baharu yang dilancarkan ke pasaran sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat farmaseutikal itu ketika bercakap mengenai prospek pasaran tempatan memberitahu kerajaan telah melanjutkan tarikh rundingan perjanjian konsesi kumpulan kepada Jun 2023.
Perniagaannya tetap beroperasi seperti biasa semasa peringkat akhir rundingan.
Syarikat itu juga mencatatkan pertumbuhan 50 peratus dari tahun ke tahun yang menggalakkan dalam pasaran swasta dan menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan pada 2023.
Dalam kenyataan berasingan, disebabkan rawatan perakaunan itu yang selaras dengan keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia dan amalan tadbir urus baik Pharmaniaga, kumpulan itu perlu menyediakan sejumlah RM552.3 juta bagi stok vaksin.
Katanya, peruntukan yang tidak dapat dielakkan itu telah mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) untuk Pharmaniaga.
“Pharmaniaga mengalami cabaran tahun kewangan 2022 disebabkan penyediaan stok vaksin Covid-19 yang bergerak perlahan dengan jangka hayat tertentu dalam inventorinya.
“Ini mengakibatkan kerugian sebelum cukai dan zakat serta kerugian selepas cukai dan zakat masing-masing sebanyak RM580.8 juta dan RM605 juta,” katanya.
Mengulas perkara itu, kumpulan kni sedang berbincang dengan pelbagai pihak, baik tempatan mahupun luar negara untuk membeli vaksin dan optimis dengan hasil yang baik daripada rundingan berkenaan.
“Tanpa mengambil kira isu tersebut, syarikat memberi jaminan kepada semua pihak bahawa ia komited untuk melaksanakan pelan regularisasi mengikut keperluan Bursa Malaysia dalam masa yang ditetapkan.
“Pelan itu akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan kedudukan kewangan serta jaminan bahawa aktiviti perniagaan syarikat akan kekal berdaya maju dengan prospek pertumbuhan,” katanya.
Syarikat itu berkata aktiviti operasi bagi kedua-dua perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan dan perniagaan bukan konsesi dengan sektor swasta tidak akan terganggu, malah terus utuh.
“Kumpulan komited untuk memberi perkhidmatan kepada semua obligasi kewangan kepada pemberi pinjaman dan institusi kewangan lain, serta merangka pelan aliran tunai yang optimum,” katanya.
Pharmaniaga Bhd merupakan antara syarikat yang paling banyak mendapat manfaat ketika pelaksanaan PKP sejak tahun 2020 selain konsesi ubatan sedia ada mendapat hak membekal vaksin sinovac dan peralatan kesihatan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia.
17 Februari lalu Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd membekalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 93 alat pengudaraan yang rosak semasa pandemik COVID-19 yang menyebabkan kerajaan kerugian dianggarkan RM13.07 juta.
Laporan Ketua Audit Negara 2021 (Siri 2), yang dibentangkan di Parlimen menyatakan mesyuarat Kabinet pada 25 Mac 2020, telah bersetuju untuk Pharmaniaga Logistics, anak syarikat farmaseutikal tersenarai Pharmaniaga Bhd, membekalkan 500 ventilator baharu daripada pengilang luar negara.
Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan perolehan kecemasan untuk ventilator, membolehkan KKM membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM30 juta kepada Pharmaniaga Logistics – yang dikenal pasti dalam laporan Ketua Audit Negara dengan nombor pendaftaran syarikatnya (260790-T) – bagi perolehan 500 ventilator yang menelan belanja dianggarkan RM50 juta.
Bagaimanapun, Pharmaniaga Logistics hanya membekalkan 136 ventilator kepada kemudahan penjagaan kesihatan, seperti yang ditentukan oleh KKM, secara berperingkat antara 1 April dan 19 Mei 2020, dengan kos RM20.1 juta. Tambahan RM3.97 juta yang diluluskan untuk Pharmaniaga Logistics untuk menaik taraf ventilator tertentu menyebabkan kos perolehan keseluruhan 136 ventilator kepada RM24.07 juta
Namun kali ini Pharmaniaga rugi besar dan mencetuskan keadaan bakal tersenarai ke status PN17