Menteri Besar Terengganu mengaku menjual tanah kerajaan negeri kepada NGO Khairunnisa yang diketuai isterinya.
Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap penjualan tanah kerajaan negeri kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) hanyalah isu kecil.
Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan segala prosedur yang ditetapkan dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan.
“Saya pun tidak faham kenapa itu menjadi isu, proses yang dijalankan dalam isu itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.
“Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.
Terdahulu tular laporan mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran.
Tanah itu didakwa bernilai RM29.3 juta tetapi dijual kepada Khairunnisa’ dengan hanya RM500,000.
Fail pengurusan tanah yang tersebar mengesahkan kronologi permohonan tanah itu apabila Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Februari 2019 menyatakan TIDAK memberi pertimbangan kepada permohonan isteri wakil rakyat PAS kerana tanah tersebut telah dibuat pengambilan balik pada tahun 2005 dalam diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Jun 2006 bagi tujuan disimpan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi maksud tujuan awam dan diwartakan pada 28 April 2011.
Untuk rekod, tanah tersebut pernah diberikan kepada Koperasi Insaf Terengganu Berhad (Koinsaf) milik pemimpin PAS Terengganu pada tahun 2003 iaitu ketika Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu. Koinsaf ditubuh pada 29 Disember 2021 dan dipengerusikan oleh Bendahari PAS Kemaman, Roslin Abdul Rahman. Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang ketika itu, Hussain Ismail adalah Ahli Lembaga Pengarah Koinsaf.
Tanah yang pernah menjadi tapak mahkamah syariah dan pejabat kerajaan itu diberi kepada koperasi milik pemimpin PAS Terengganu dengan bayaran premium RM340 ribu. Memandangkan kedudukan tanah itu yang strategik dan berkepentingan rakyat, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional pada 2005 terpaksa membuat pengambilan balik tanah tersebut. Kerajaan negeri ketika itu terpaksa membayar kepada Koinsaf sebanyak RM8.06 juta, iaitu nilaian semasa tanah tersebut. Dengan pembayaran itu, Koinsaf dan pemimpin PAS Terengganu telah menerima ‘keuntungan’ sekitar RM7 juta.
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sendiri menerusi surat bertarikh 14 Julai 2019 juga TIDAK menyokong permohonan isteri wakil rakyat PAS itu.
‘Conflict of interest’ dalam perkara ini ialah; ‘Menteri Besar dan Ahli Exco’ selaku pembuat keputusan telah meluluskan permohonan ‘Isteri Menteri Besar dan isteri Ahli Exco’ untuk memiliki tanah kerajaan negeri yang bernilai tinggi.
Tanah ‘Dataran Khairunnisa’ itu berada di lokasi strategik dalam kawasan pusat bandar Kuala Terengganu dengan jarak 500 meter dari Wisma Darul Iman dan ‘berjiran’ dengan Ibu Pejabat Polis Terengganu, Hospital Pakar Salam dan Menara Yayasan Islam selain terletak kira-kira 100 meter dari Pejabat PAS Terengganu.
Surat daripada Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Terengganu bertarikh 18 Julai 2019 mengesahkan nilaian pasaran terbuka tanah tersebut ialah RM29,370,000.00.
Isu yang dibangkitkan oleh netizen ialah konfik kepentingan antara Menteri Besar Terengganu dan Persatuan Khairunnisa diketuai isterinya Puan Seri Faizah binti Tuan Ab Rahman Tuan Abd Rahman dengan hanya perlu membayar RM500 ribu sahaja berbanding premium sebenar yang dikenakan kepada pihak lain sebanyak RM5.87 juta.
Mengapa Khairunnisa mendapat tanah semurah itu? Untuk apa Khairunnisa perlu memiliki tanah hampir RM30 juta itu?
Kenyataan Ahmad Samsuri sebagai mematuhi prosedur hanya alasan kerana isu sebenarnya MB Terengganu beri isteri tanah kepada NGO Khairunnisa.
Bagaimana selepas ini apakah Khairunnisa pula akan menjual tanah itu kepada pihak tertentu untuk mendapat untung besar sepertimana Koinsaf dan pemimpin PAS Terengganu sebelum ini?
MB Terengganu sepatutnya menjawab isu ‘Conflict of interest’ bukan prosedur.
Dalam sidang media itu Ahmad Samsuri gagal menjelaskan dokumen nilai pasaran tanah yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bertarikh 26 jun 2019 bernilai RM29.3 juta itu.