Malaysiakini semalam dan hari ini melaporkan mengenai Syarikat Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMMA) telah mula menghentikan beberapa operasi di kilang pembuatannya di negara ini yang menyebabkan hampir seribu rakyat Malaysia menganggur.
Bagaimanapun Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd menafikan laporan syarikat itu akan menutup operasi beberapa kilangnya di Malaysia.
Panasonic berkata, pihak syarikat hanya menutup dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam 1 (SA1) selepas melengkapkan proses rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan, pada 1 Mac.
“Tiada kilang atau jabatan lain selain yang dinyatakan terkesan,” katanya dalam kenyataan.
Gergasi pembuatan itu, berkata ada pekerja terkesan susulan penutupan jabatan ditawar skim pemisahan secara bersama (MSS) dengan sebahagian besar mereka secara sukarela memilih pilihan ditawarkan.
“Pekerja memilih MSS menerima pakej pampasan adil dan saksama yang mana lebih tinggi daripada norma industri.
“Baki pekerja tidak memilih MSS, jabatan sumber manusia kami menyediakan mereka tawaran dipindahkan ke jabatan relevan dalam Panasonic Malaysia, berdasarkan kemahiran dan potensi untuk berkembang.”
Kalah kes mahkamah tiada kaitan tutup kilang
Walaupun PMMA berkata tiada kaitan, penutupan itu berlaku selepas syarikat gergasi pembuatan itu kalah dalam dua tuntutan berasingan di mahkamah pada tahun lalu terhadap bekas pembekalnya, pengarah eksekutifnya Chen Ah Huat dan pekerja atas dakwaan penipuan mencecah lebih RM3 juta.
PMMA berkata penutupan operasinya tiada kaitan dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi syarikat itu.
Menurut dokumen mahkamah PMMA memfailkan tuntutan undang-undang itu masing-masing pada 2016 dan 2017.
Saman pertamanya adalah terhadap bekas pembekalnya, syarikat Ta Shih Engineering Sdn Bhd, Chen dan bekas pekerjanya Ganesan Chinniah Barathan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada April 2016.
Saman kedua dikemukakan terhadap satu lagi bekas pembekal iaitu syarikat Transcend Mould Sdn Bhd, serta Chen dan Ganesan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Mac 2017.
Kedua-dua saman itu telah disatukan dan didengar bersama.
PMMA menyaman defendan kerana didakwa bersubahat untuk menipu syarikat dengan mencipta sebut harga rekaan, pesanan pembelian, pesanan penghantaran dan invois untuk membuat tuntutan bagi pembayaran di bawah skim prapembayaran, yang tidak diluluskan atau dibenarkan oleh pengurusan atasan plaintif.
PMMA juga menuduh defendan memotong bayaran daripada skim prapembayaran untuk kerja-kerja pembaikan yang tidak disahkan sebagai telah siap.
Gergasi pembuatan Jepun itu berkata, defendan bersubahat untuk menipu dan menyebabkan kerugian kepada PMMA melalui pembayaran komisen sebanyak lima peratus komisen untuk membayar cukai atau caj perkhidmatan kepada syarikat Ta Shih dan Transcend.
Menurut PMMA, defendan menerima pakai skim prapembayaran tersebut yang dikenali sebagai “wang tempahan” atau “duit parking”.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa PMMA mengeluarkan RM2.082 juta dan RM1.301 juta kepada Ta Shih Engineering Sdn Bhd dan Transcend Transcend Mould Sdn Bhd dari 2011 hingga 2014 untuk kerja-kerja pembaikan.
Bagaimanapun, pengurusan PMMA pada 2014 mendapati bahawa dana yang dikeluarkan itu berpunca daripada pelbagai tindakan penipuan yang didakwa dilakukan oleh defendan.
Berikutan penemuan itu, syarikat berkenaan melancarkan garis panduan sifar rasuah yang menekankan ketelusan, integriti dan pemberi maklumat, dan dalam laporan tahunan 2022nya mengatakan bahawa “risiko rasuah” adalah salah satu daripada “risiko utama”.
Langkah itu termasuk pasukan pematuhan yang mengawasi langkah pencegahan rasuah.
Ta Shih dan Transcend merupakan pembekal yang menyediakan mesin ‘moulding dan dies’ baru kepada PMMA, serta membaiki alatan sedia ada.
Chen ialah pengarah dan pekerja PMMA yang menyelia bahagian pembuatan dan perolehan, termasuk Jabatan Mesin Moulding dan Dies (DMD).
Ganesan ialah pekerja PMMA di DMD, dan dengan Chen, merupakan hubungan utama antara syarikat dan pembekal.
Kedua-dua Ta Shih dan Transcend merupakan antara banyak pembekal lain yang terlibat dengan PMMA untuk membekalkan mesin moulding dan dies baru serta membaiki yang sedia ada secara berterusan.
Tanggungjawab Chen dan Ganesan termasuk merundingkan harga kerja pembaikan, menguruskan sebut harga, pesanan pembelian, pesanan penghantaran dan invois antara plaintif dan pembekal.
Mereka juga memastikan bahawa kelulusan sewajarnya diperoleh daripada pengurusan atasan PMMA untuk pembayaran kepada pembekal, termasuk pengurusan sewajarnya jumlah skim prapembayaran yang telah dibayar terlebih dahulu kepada pembekal.
Namun keputusan kehakiman pada 20 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Che Mohd Ruzima Ghazali mendapati PMMA gagal membuktikan kesnya terhadap defendan.
Hakim memerintahkan PMMA membayar RM154,949 sebagai jumlah terhutang dan terhutang kepada Ta Shih, membawa faedah lima peratus setahun dari tarikh pemfailan tuntutan balas Ta Shih pada 12 Dis 2018.
Bagi kos, hakim turut mengarahkan PMMA membayar RM70,000 kepada setiap defendan, tertakluk kepada bayaran yang diperuntukkan.
Menurut pelbagai saksi daripada kedua-dua pihak, termasuk penyiasat bebas Satgunasingam Balasingam yang diupah oleh PMMA, amalan skim prapembayaran itu telah pun dijalankan sejak sebelum 2010, semasa Lim Jee Wee memegang jawatan pengurus besar dan ketua jabatan DMD ketika itu.
Selepas kematian Lim, penggantinya meneruskan amalan itu.
Hakim mendapati berdasarkan bukti, bahawa amalan ini juga merupakan norma untuk kerja-kerja pembaikan mesin moulding dan dies sedia ada, serta dianggarkan dalam belanjawan oleh ketua-ketua jabatan pengeluaran, dan bukan hasil konspirasi di kalangan defendan.
Mengenai dakwaan bahawa defendan bersubahat untuk menggunakan atau memotong wang daripada skim prabayaran tanpa mesin moulding dan dies yang telah dibaiki, hakim mendapati PMMA tidak dapat menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan.
Berhubung dengan penggunaan dokumen yang dikatakan rekaan, mahkamah mendapati defendan tidak boleh mengemukakan dokumen tersebut kerana mereka tidak mempunyai akses kepada sistem berkomputer untuk meminta bayaran.
Sementara itu, mahkamah juga mendapati adalah tidak benar bahawa defendan merancang untuk memotong lima peratus daripada jumlah skim prapembayaran kepada kedua-dua pembekal tanpa sebarang sebab yang sah, menyebabkan kerugian kepada PMMA.
Pengarah Urusan Ta Shih, Liew Huat Heng memberi keterangan bahawa wakil PMMA mendesak pengaturan “wang tempahan” sebagai bayaran pendahuluan untuk kerja-kerja yang perlu dilakukan.
Lebihan itu akan dipulangkan pada akhir tahun kewangan, katanya.
“Mereka bersetuju untuk memberi pampasan kepada kami dengan membenarkan kami memotong lima peratus daripada wang yang diletakkan sebagai caj pentadbiran kami dan untuk membayar pampasan bagi sebarang cukai jualan yang perlu dibayar ke atas wang yang diletakkan itu.”
Hakim berkata walaupun tiada persetujuan bertulis mengenai perkara ini namun bukti, termasuk daripada Jabatan Kewangan PMMA, menunjukkan ia amalan biasa dalam firma itu.
“Jabatan Kewangan plaintif juga menerima wang prapembayaran yang tidak digunakan daripada pembekal tanpa sebarang tempahan.
“Sebenarnya, bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak menunjukkan terdapat banyak pihak lain yang terlibat dalam skim prapembayaran atau dalam jumlah pengekalan lima peratus.
Mengapa SPRM tak siasat?
Persoalan besar ialah mengapa SPRM tidak menyiasat pengarah eksekutifnya Chen Ah Huat, Ganesan Chinniah Barathan,Ta Shih Engineering Sdn Bhd dan Transcend Mould Sdn Bhd?
Penyiasat kes ini hanya penyiasat persendirian?
Jika SPRM boleh masuk ke syarikat Mafia Korporat seperti Green Packet, Classita Holdings Berhad, Revenue Group Berhad dan terbaru GIIB Holdings Berhad mengapa Bahagian Siasatan yang gemar masuk ke syarikat senarai awam tak masuk ke Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad.
Pekerja menipu mencecah lebih RM3 juta dengan dokumen palsu dan salahguna kuasa. Kilang-kilang PMMA juga banyak mahu ditutup terkesan dari pelbagai isu termasuk kalah mahkamah jadi adalah wajar SPRM menyiasat semula kes ini.
Selepas didedah Malaysiakini netizen pasti mahu melihat apa tindakan dan ulasan SPRM mengenai penyelewengan di syarikat Panasonic yang melabur di negara ini.
Laporan penutupan kilang Panasonic itu menyebabkan kejatuhan harga saham kepada Panasonic 64 sen atau 2.91 peratus kepada RM21.36 sesaham.
1 jun lalu Panasonic turut mengumumkan pertukaran Pengarah Urusannya daripada Mr Kenji Kamada kepada Mr Takashi Sugihara.
Dato’ Azman Mahmud Pengerusi bukan eksekutif Panasonic pasti akan melakukan sesuatu mengelak kehancuran Panasonic Malaysia yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merupakan antara pemegang saham kedua dalam PMMB. Semakan menunjukkan KWSP sejak tahun lalu melupuskan sedikit demi sedikit pegangannya dalam PMMB.