Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan kontrak Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu tamat berkuatkuasa 1 Jun 2023
FINAS dalam kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.
“Penstrukturan ini akan membabitkan penjajaran semula atau ‘recalibration’ ke atas dasar, program dan aktiviti industri kreatif terutamanya industri perfileman.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, dalam tempoh interim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO berkuat kuasa hari ini, hingga jawatan berkenaan diisi.
FINAS merakamkan ucapan penghargaan kepada Md Nasir atas sumbangannya sejak menduduki jawatan CEO perbadanan itu pada 1 November 2021.
“Terima kasih kepada Dr Md Nasir atas segala sumbangan dan jasa bakti sepanjang perkhidmatan sebagai CEO bermula 1 November 2021 sehingga 31 Mei lalu.
“FINAS mengucapkan selamat maju jaya kepada Md Nasir dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa juga bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) atau sekarang Kementerian Komunikasi dan Digital mengumumkan pelantikan Md Nasir sebagai CEO baharu FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2021 sehingga 30 Oktober depan.
Pelantikan Dr Md Nasir bagi menggantikan bekas CEO FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugas berkuat kuasa 15 Oktober 2021.
Kontroversi FINAS tidak pernah berhenti malah sejak Datuk Kamil Othman Ketua Pengarah FINAS dilaporkan ketirisan RM16 juta dana FINAS sejak 2013 hingga 2015.
Ketika Gobind Singh Deo menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia beliau turut mendedahkan kontroversi di FINAS.
Laporan Ketua Audit Negara 2021 sekali lagi melaporkan ketirisan sejumlah RM184.20 juta Geran Dana Kandungan Digital (DKD) disalurkan kepada Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) K-Komm, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk diberi kepada Penerbit, penggiat industri, pengkarya, penulis, belia dan pelbagai pihak lagi.
Paling teruk semua Lembaga Pengarah FINAS 2020 – 2022 mendapat dana FINAS termasuk Ahmad Idham ketika sebagai CEO FINAS sejak 2019 hingga 2022 beliau melakukan salahguna kuasa memberi dana Projek Penculikan Leha Lawa RM600,000 menggunakan syarikat Alfanazra Productions Sdn Bhd milik adik beradik Idham, Ahmad Sabri bin Ahmad Nadzri and Ahmad Khalid bin Ahmad Nadzri.
Oleh itu penamatan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah perkara biasa dalam FINAS.